AM

Keseimbangan Duniawi Dan Kekuatan Rohani Tunjang Agenda Malaysia MADANI - PM Anwar

28/11/2025 11:05 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Keseimbangan antara pembangunan duniawi dan kekuatan rohani mesti terus menjadi tunjang kepada agenda Malaysia MADANI bagi memastikan negara bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi turut unggul dalam aspek akhlak, keinsanan dan nilai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan yang berteraskan nilai dan keinsanan amat penting dalam membentuk masyarakat sejahtera serta negara yang stabil dan berdaya tahan.

"Kita mesti meningkatkan karamah insaniah dengan meletakkan nilai dan akhlak dalam seluruh rangka pendidikan, ekonomi, teknologi dan tatakelola," katanya pada majlis penutup Khatam Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025, di Masjid Putra malam ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Anwar menegaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, sebaliknya satu rangka pembangunan negara yang berteraskan ilmu, akhlak dan nilai kemanusiaan di sebalik kemajuan teknologi serta pertumbuhan ekonomi pesat.

"Apakah kelainannya dalam pemahaman kita mengenai MADANI? Semua negara berbicara tentang kemampanan dan kini apabila negara menuju kepada kepantasan pertumbuhan ekonomi yang segar, semua membicarakan soal transisi tenaga, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

"Bezanya dalam negara MADANI, terasnya masih pada akhlak dan nilai. Kita bicara dunia yang berebut untuk mencatat kemajuan dan pembangunan yang pantas dan segar tetapi luntur nilai kemanusiaan dan akhlak," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha bersungguh-sungguh perlu digerakkan untuk menzahirkan maksud sebenar negara MADANI bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam ilmu dan bidang baharu termasuk AI, digital serta tenaga baharu, namun dalam masa sama tidak meminggirkan kekuatan akidah, keyakinan dan nilai insaniah.

Beliau berkata kerajaan MADANI merupakan satu-satunya kerajaan yang berjaya menekankan pengajian al-Quran, mendukung usaha pengajarannya sama ada di sekolah kebangsaan, sekolah agama atau sekolah pondok.

Selain itu, usaha mengimarahkan masjid turut diperkukuh dengan memperluas pengajian hadis yang bermula tahun lepas dengan kejayaan Khatam Sahih Bukhari dan tahun ini diteruskan dengan pengajian Sahih Muslim.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada para ulama antarabangsa yang hadir pada majlis berkenaan termasuk Mufti Besar India Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan Sheikh Dr Ahamed Mamduh dari Mesir.

Turut hadir Al-Allamah Sheikh Isam As-Sabuie Al-Maliki dari Tunisia, Syeikh Dr Yasir Al-Adeni As-Syahiri dan Syeikh Niyaz Ahmad Al-Adeni dari Yaman, Syeikh Hussein Abdul Qadir Al Yusuf dan Syeikh Hasnul Hizam Hamzah dari Malaysia dan Tuan Guru Sheikh Nuruddin Al-Banjari Al Makki dari Indonesia.

Beliau berkata kehadiran tokoh-tokoh besar dunia Islam itu membuktikan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia sebagai pusat ilmu Islam unggul selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menghimpunkan para ulama untuk berkongsi pandangan, memperkukuh ukhuwah serta menzahirkan kesatuan ummah.

“Inilah maksud bila saya lontarkan rangka Malaysia MADANI (yang) menghimpunkan para ulama untuk bermuzakarah, saling memahami, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan usaha menyempurnakan tugas dan amanah tadbir negara ini," katanya.

Lebih 15,000 orang menghadiri majlis khatam tahun ini, selain sekurang-kurangnya 2,000 peserta hadir setiap hari sepanjang penganjuran bermula 19 Nov lepas.

Penganjuran itu sekali lagi mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat keilmuan Islam yang unggul di rantau ini, serta menyokong misi nasional untuk memperkukuh pemikiran Islam yang inklusif dan menolak  naratif ekstrem yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Ia juga membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi pemangkin kepada usaha memartabatkan agama, memelihara perpaduan ummah dan menolak segala bentuk ekstremisme, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengangkat Malaysia sebagai rujukan utama keilmuan Islam di peringkat serantau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496679