JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Sarawak Tumpu Usaha Sekat Judi Dalam Talian

27/11/2025 12:44 PM

KUCHING, 27 Nov (Bernama) -- Polis Sarawak kini menumpukan usaha untuk menyekat judi dalam talian termasuk bagi mencari kaedah yang dapat menghalang akses kepada aktiviti berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata usaha membanteras judi dalam talian perlu menggunakan pendekatan baharu seiring dengan perubahan teknologi.

“Trend terkini membolehkan pemain mengakses permainan secara terus melalui telefon, menjadikan penyekatan sistem sebagai langkah paling berkesan.

“Kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Digital dan Sains (Sarawak Information Systems Sdn Bhd) menjadi tumpuan utama dalam mengenal pasti kaedah paling efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan bantuan sumber manusia sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata beliau sendiri akan turun padang untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat premis judi dalam talian di sekitar bandar raya ini yang disyaki menjadi tumpuan.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495927