Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Malaysia sedang mengubah naratif bagi banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya mereka yang berada dalam industri aeroangkasa, sebelum ini terpaksa berhadapan dengan halangan birokrasi, antaranya mengambil masa terlalu lama untuk pemberian kelulusan, kertas kerja berulang dan kelewatan tidak dijangka.
Menurut Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng reformasi ini telah pun menghasilkan manfaat ketara untuk perniagaan dan rakyat.
Beliau berkata inisiatif RKB membantu PKS menumpukan pada pertumbuhan dan bukannya kertas kerja dengan kelulusan dan prosedur lebih jelas dan proses pendigitalan, membolehkan perniagaan beroperasi dengan lebih cekap dan merancang dengan lebih baik.
“Kerajaan menerusi RKB telah menerima input (pendapat dan cadangan) kami dan telah mengambil langkah-langkah yang besar untuk menghapuskan kelewatan seperti pelesenan bertindih, tempoh kelulusan yang perlahan, amalan pihak berkuasa tempatan tidak konsisten dan jurang sistem digital serta bekerjasama dengan agensi untuk mencari penyelesaian.
“Mendengar pendapat dan cadangan daripada PKS termasuk perusahaan mikro dan perniagaan yang dikendalikan oleh keluarga penting kerana mereka adalah yang paling terjejas oleh birokrasi,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata mengurangkan halangan dalam pembiayaan untuk perniagaan merentasi sektor termasuk industri aeroangkasa telah meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 30 peratus, membolehkan PKS menembusi pasaran pengeluar peralatan asal.
Kesan terhadap PKS
Ng berkata perubahan paling ketara dialami PKS terutamanya syarikat aeroangkasa, di bawah RKB adalah pengurangan masa menunggu untuk kelulusan.
Beliau menekankan bahawa faedahnya adalah luas dan ketara seperti apabila berurusan dengan bank untuk pembiayaan projek atau aset, ia menghasilkan pemulihan lebih cepat daripada pelbagai agensi kerajaan.
PKS boleh mengemukakan maklumat lebih lengkap, tepat dan terbaharu kepada bank sekali gus meningkatkan pemprosesan dan mempercepatkan kelulusan.
“Penambahbaikan ini pada asasnya datang daripada kos menjalankan perniagaan lebih rendah. Sebelum RKB, PKS membazir masa dan wang akibat kelewatan pentadbiran, menunggu kelulusan, perlu melakukan perjalanan antara agensi, menghantar semula dokumen atau mengupah perantara untuk menguruskan proses yang tidak jelas,” katanya.
Kesimpulannya, Ng menjelaskan bahawa margin meningkat kerana PKS boleh beroperasi dengan lebih cekap, merancang dengan lebih baik dan menggunakan semula sumber ke dalam perniagaan dan bukannya ke dalam birokrasi.
Cadangan untuk Tambah Baik Fasa Inisiatif Seterusnya
Ng berkata SAMENTA mencadangakan beberapa langkah untuk menambah baik lagi inisiatif bagi membantu PKS menumpukan pada menjalankan perniagaan.
Beliau berkata SAMENTA telah mencadangkan platform digital kebangsaan tunggal, mungkin di bawah MyDigital ID, PKS hanya menyediakan dokumen sekali sahaja dan semua kementerian boleh mengaksesnya untuk menghapuskan pertindihan serta jaminan tahap perkhidmatan untuk agensi bagi memastikan PKS mempunyai kepastian mengenai garis masa pemprosesan.
Cadangan tambahan daripada SAMENTA termasuk penyelarasan lebih baik dengan pihak berkuasa tempatan kerana ia kekal sebagai sumber kerenah birokrasi terbesar bagi PKS dan libat urus berterusan dengan persatuan perdagangan untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu akar umbi dengan cepat.
“Kami sangat percaya RKB harus menjadi inisiatif jangka panjang yang sentiasa berkembang. Hasil untuk fasa awalnya sangat memberangsangkan tetapi kita mesti beralih ke fasa kedua yang meningkatkan impaknya dan memastikan pembaharuan tersebut memberi manfaat kepada PKS dalam setiap sektor dan setiap wilayah,” kata Ng.
-- BERNAMA