POLITIK

Hajiji Nasihat Pengundi Buat Pilihan Tepat Pada PRN Sabah, Sabtu Ini

27/11/2025 02:07 PM

TUARAN, 27 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menasihatkan rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu untuk membuat pilihan yang tepat Sabtu ini, apabila mereka keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menasihatkan pengundi supaya tidak membuat pilihan yang salah pada hari pengundian Sabtu ini.

“Jangan pilih kerajaan yang sebelum ini telah diberikan peluang selama dua tahun setengah tetapi gagal mentadbir Sabah, sehingga ditolak rakyat dalam PRN lepas.

“Pilihlah kerajaan yang membawa kebaikan, kestabilan politik dan pembangunan kepada negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada Temurapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajausama Sabah, di sini hari ini.

Program itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Hajiji berkata GRS telah membuktikan keupayaannya mentadbir Sabah dengan baik sepanjang tempoh pemerintahannya lima tahun lepas.

Beliau berkata dengan sokongan kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Anwar, pentadbiran negeri pimpinan GRS telah berjaya mengangkat kembali ekonomi Sabah.

“Kita perkenalkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 dan memberi keutamaan kepada tiga sektor pembangunan ekonomi negeri. Kita turut menumpukan usaha kepada pembangunan modal insan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita juga membela rakyat termiskin,” katanya.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Anwar yang disifatkannya sebagai Perdana Menteri yang paling kerap turun padang ke Sabah, bagi meneliti sendiri keperluan rakyat negeri itu.

“Mana ada Perdana Menteri datang Sabah sekerap ini. Inilah dia, Perdana Menteri yang prihatin, yang membantu negeri Sabah dalam pelbagai aspek, termasuk memberi peruntukan yang besar untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata komitmen Anwar dapat dilihat melalui keputusan kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak, sekali gus memastikan rakyat di kedua-dua negeri itu terus menikmati harga bahan bakar yang lebih rendah berbanding di Semenanjung.

“Ini kerana beliau faham bahawa Sabah negeri yang luas, dan rakyatnya memerlukan harga diesel yang lebih berpatutan. Ini contoh jelas keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat Sabah,” katanya.

PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan sebanyak 1,760,417 pengundi biasa yang layak menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat di DUN masing-masing.

Sebanyak 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Selasa lepas.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495964