Oleh Lucia Terey John
KOTA MARUDU, 27 Nov (Bernama) -- Tiga tahun lepas, Justinah Mehong hampir berputus asa mengembangkan kraf manik turun-temurun yang diusahakannya, kerana bergelut dengan pasaran yang kecil.
Beroperasi dari gerai kecil di Kampung Tonsom di sini, wanita berusia 52 itu memulakan perusahaan manik warisan suku kaum Rungus pada 2021, selepas tidak lagi mampu meneruskan perniagaan kacang kerana masalah kesihatan.
Menggunakan manik yang dibeli dari Kota Kinabalu, Justinah menghasilkan rantai tradisi, gelang, lanyard dan anting-anting dengan setiap produk dijual antara RM10 hingga bawah RM100, bergantung kepada jenis dan saiz manik.
Namun walaupun produknya menarik, jualan tidak menentu sehingga pernah Justinah melalui bulan tanpa satu pun barang terjual.
Semua itu berubah apabila Justinah menyertai program latihan keusahawanan dan pemasaran digital di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kota Marudu.
Di Pusat Nadi itu, buat pertama kali Justinah mempelajari cara membuka akaun TikTok, membuat siaran langsung, menyusun rakaman produk dan menguruskan promosi digital, kemahiran yang sebelum ini jauh daripada dunia hariannya.
“Selain ajar kami buat TikTok, cara siaran langsung, cara promosi, dorang bagi juga peluang ikut pameran. Mula-mula kekok tapi lama-lama sudah biasa, sampai banyak orang sudah kenal saya (produk),” katanya yang ditemui Bernama di NADI Simpang Tiga Langkon baru-baru ini.
Justinah berkata dengan tempahan kini sudah menembusi pasaran Semenanjung, dia mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman sawit.
Kisah yang hampir sama turut dilalui seorang usahawan kraf lain Farni Millis, 42, yang mengusahakan bunga hiasan daripada kulit jagung, bahan yang lazimnya dibuang begitu sahaja oleh penjaja di pasar tamu.
Dia memulakan komuniti latihan kraf kulit jagung itu dengan 20 peserta pada 2022, dengan mengutip dan membeli kulit jagung pada harga RM5 hingga RM10 satu guni di pasar-pasar awam, sebelum dibersihkan, dikeringkan, dicelup warna dan dibentuk menjadi bunga.
Namun seperti Justinah, Farni turut berdepan cabaran pasaran terhad di Kota Marudu, kerana kebanyakan jualan hanya berkembang apabila mereka menghantar stok ke vendor dan resort di Kota Kinabalu.
Kerjasama dengan NADI kemudian membuka peluang membina kemahiran digital, termasuk menyediakan foto produk yang menarik, sekali gus membantu mereka menembusi pasaran di luar daerah dan meningkatkan pendapatan komuniti.
“Permulaan memang susah, sebab kami tidak tahu asas tapi tenaga pengajar NADI sangat membantu. Sekarang sudah 40 peserta menyertai komuniti ini,” katanya yang menggunakan lebih 3,000 kilogram kulit jagung sebulan, bagi menghasilkan hampir 20,000 kuntum bunga yang dijual pada RM5 atau sekitar RM150 (dalam bentuk gubahan bakul dan hiasan perayaan).
Diwujudkan sejak 2013, NADI menyediakan akses Internet, latihan kemahiran digital dan platform untuk pemasaran e-dagang bagi meningkatkan taraf hidup, terutamanya di kawasan luar bandar.
Setakat ini terdapat sebanyak 131 buah NADI di seluruh Sabah, iaitu jumlah kedua tertinggi di seluruh negara selepas Sarawak.
-- BERNAMA