POLITIK

Penduduk Paitan Impi Akses Lebih Baik, Kurangkan Beban Perjalanan

27/11/2025 03:27 PM

Oleh Suraidah Roslan

PAITAN, 27 Nov (Bernama) -- Penduduk di Kampung Mamahat di sini telah lama menerima hakikat bahawa perjalanan selama tujuh jam melalui jalan darat ke Sandakan atau sekitar dua jam menaiki bot ke Beluran, merupakan suatu keperluan harian yang tidak dapat dielakkan.

Surianah Orstel, 46, berkata kebanyakan penduduk yang bekerja sebagai nelayan, berdepan cabaran besar dalam menghantar hasil tangkapan ke pasaran berhampiran berikutan jarak perjalanan yang jauh serta kos pengangkutan yang tinggi.

Beliau berkata perjalanan ke Sandakan kira-kira 220 kilometer (km) mengambil masa sehingga tujuh jam melalui jalan darat dengan perbelanjaan kira-kira RM200 bagi pemilik kenderaan sendiri.

“Kami biasanya menghantar hasil tangkapan ke bandar Sandakan atau Pulau Banggi di Kudat. Disebabkan jarak yang begitu jauh, kami terpaksa mengumpul hasil tangkapan sehingga mencukupi sebelum dibawa ke Sandakan.

“Bayangkan kos minyak bagi sekali perjalanan boleh mencecah RM200. Jika menaiki kereta sewa, jumlahnya jauh lebih tinggi dan boleh sampai RM500,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penduduk juga perlu ke Beluran yang terletak kira-kira 178km dari kampung mereka untuk urusan dokumentasi seperti sijil kelahiran atau urusan sekolah anak-anak, memandangkan Paitan belum mempunyai pejabat pendaftaran atau pejabat pendidikan sendiri.

Justeru, beliau menyambut baik usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menaik taraf Paitan sebagai daerah penuh tahun lepas dan berharap banyak perubahan positif dapat dibawa ke Paitan, antaranya pembukaan lebih banyak pejabat kerajaan.

Sementara itu, penduduk Terusan Sugut Radli Saharin, 33, berkata projek pembinaan sumber tenaga solar berkapasiti 300 kilowatt yang sedang dilaksanakan di kawasan itu, akan memberi sinar harapan kepada kira-kira 1,000 penduduk.

Beliau berkata penduduk masih bergantung kepada set janakuasa, namun dengan adanya sumber tenaga solar tersebut, mereka boleh menikmati bekalan elektrik 24 jam berbanding 12 jam ketika ini.

Bagi Sharifah Nureizwah Sh Mahmud, 21, usaha kerajaan menaik taraf pencawang telekomunikasi di Kampung Terusan Sugut, memudahkan pelajar menikmati perkhidmatan Internet 4G berbanding 3G yang sedia ada.

“Sekarang, talian Internet masih belum stabil. Dengan siapnya usaha menaik taraf pencawang telekomunikasi itu, mudahlah anak-anak muda di sini mendapatkan maklumat berkaitan pelajaran dengan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut yang juga calon GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Datuk James Ratib berazam akan terus membangunkan kawasan berkenaan yang diwakilinya sejak tiga penggal lepas.

Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata kesukaran yang dialami penduduk, menjadi antara faktor beliau memperjuangkan status Paitan sebagai daerah penuh.

James turut menegaskan komitmen menunaikan janji pada PRN lepas untuk menyediakan bekalan elektrik 24 jam serta liputan Internet lebih baik.

Paitan terletak dalam DUN Sugut di bawah Parlimen Beluran dan pada PRN Sabtu ini sebanyak 18,435 pemilih berdaftar layak mengundi.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496017