Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Isu ketidakstabilan politik bukan perkara asing buat Sabah sejak sekian lama, justeru kerajaan negeri yang bakal dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini perlu beralih kepada kerajaan negeri berpaksikan kepimpinan ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul berkata kepimpinan ekonomi ialah satu bentuk kepimpinan yang berbeza daripada amalan tipikal yang lazimnya meletakkan keutamaan politik mendahului kepentingan ekonomi.
"Bagaimana kita mengolah wajah politik baharu Sabah, yang ekonomi adalah tunjang. Dalam dunia semakin kompleks, kita tidak boleh lagi terpasung dalam kerangka politik lama, politik meriah dengan slogan dan janji tetapi kurang bertumpuan kepada membina institusi," katanya kepada Bernama.
Beliau menekankan bahawa kepimpinan ekonomi bukan sekadar keupayaan bercakap tentang isu ekonomi atau membuat senarai projek pembangunan berserta strategi pelaksanaan.
"Kepimpinan ekonomi ialah orientasi kuasa. Cara pemimpin berfikir, menganalisis, memutuskan dan bertindak berdasarkan satu prinsip teras, iaitu setiap keputusan mesti menghasilkan nilai ekonomi yang adil dan bukan berlandaskan percaturan politik semata," jelasnya.
Ramzah turut membezakan kepimpinan ekonomi dengan kepimpinan politik konvensional yang berfokus kepada sokongan partisan demi kepentingan politik semata-mata, manakala kepimpinan ekonomi berfokus kepada keberkesanan dasar dan penciptaan nilai demi membangunkan negeri.
Beliau berkata naratif semasa dalam sains politik lebih tertumpu kepada siasat sosial politik tetapi sangat sedikit elemen sosial ekonomi, justeru perubahan naratif ini juga perlu dilakukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Sebab kita para ekonomis ini, kita ialah pihak yang membentuk politik Sabah. Naratif daripada universiti naratif penting yang mempengaruhi institusi di luar sana. Sebab itulah kita perlu mengubah naratif ini," katanya.
Beliau berkata masalah utama yang dihadapi Sabah ialah struktur ekonomi negeri yang masih lebih berat kepada komoditi dengan 70 peratus daripada nilai eksport Sabah bergantung kepada minyak, gas dan minyak sawit.
"Lebih 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kita disumbangkan oleh komoditi. Walaupun Sabah adalah antara enam negeri di Malaysia dengan KDNK paling tinggi, tetapi bila kita bercakap tentang pendapatan isi rumah, Sabah paling rendah," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sektor komoditi, walaupun menyumbangkan 30 peratus kepada ekonomi negeri, tetapi hanya menyumbangkan satu peratus sahaja kepada pekerjaan justeru struktur ini tidak sesuai untuk Sabah.
Ramzah turut menyentuh isu kemiskinan di Sabah yang bukan sahaja melibatkan kemiskinan mutlak atau relatif berasaskan pendapatan, tetapi juga akses kepada pendidikan, kesihatan dan sumber mata pencarian.
Beliau turut memberikan contoh kegagalan program pembasmian kemiskinan yang menggunakan pendekatan 'memberikan pancing' tanpa menyediakan 'kolam' merujuk kepada keperluan mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk program ekonomi dan pembangunan di Sabah.
“Kita ajar rakyat memancing maksudnya ajar manafaatkan peluang ekonomi, tetapi kalau Sabah ini peluang ekonominya bertumpu kepada bandar seperti Kota Kinabalu, jadi kalau di luar bandar atau pedalaman bagaimana dia mahu memancing. Kita kena wujudkan kolam ekonomi di kawasan dia,” katanya.
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Prof Dr Asmady Idris berkata Sabah perlu mengutamakan kepimpinan ekonomi berasaskan konsep Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan kestabilan dan pembangunan berterusan negeri.
Beliau berkata antara elemen penting SDG yang perlu diberi tumpuan ialah perancangan penggantian kepimpinan atau succession planning yang selama ini menjadi cabaran dalam konteks politik Sabah.
"Apabila satu tokoh itu selesai, parti itu pun selesai dulu bersama dengan tokoh tersebut. Jadi tidak ada perancangan penggantian yang tersusun rapi untuk pelapis-pelapis yang ada," katanya menambah situasi itu membuatkan perancangan baik dilaksana pemimpin terdahulu tidak dapat dilaksana sekarang.
Asmady menegaskan tadbir urus yang baik ialah kunci untuk Sabah mencapai kestabilan yang berkekalan di tengah-tengah persaingan politik yang sengit, terutama dalam konteks hubungan Sabah dengan kerajaan Persekutuan dan perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut menyentuh keperluan memberikan perhatian kepada pembangunan sosioekonomi Sabah, khususnya usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta memastikan peluang sama rata untuk semua lapisan rakyat Sabah.
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA