KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dijangka hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, esok bagi memberi keterangan berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan telah dibuka susulan dakwaan berkenaan oleh sebuah portal berita.
“Setakat ini, tiga saksi telah dipanggil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azam berkata Albert pula akan dipanggil pada 1 Dis, selepas dia memohon penangguhan berikutan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Selain kedua-dua mereka, Azam berkata seorang wanita yang dikaitkan dalam klip video tular berbual bersama Albert, telah tampil memberi keterangan pukul 2 petang tadi.
“Semua individu yang diarahkan hadir perlu memberikan kerjasama penuh bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan segera.
“Saya telah mengarahkan pegawai untuk menyiapkan siasatan dalam tempoh dua minggu, kerana kes ini dianggap serius dan perlu diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Pada 25 Nov, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
SPRM sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan Albert dan Shamsul Iskandar sedang dijalankan, dan semua pihak berkaitan akan dipanggil bagi mengumpul bukti yang diperlukan.
-- BERNAMA