KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan lebat kadangkala berterusan menyebabkan mangsa banjir di lima negeri iaitu Terengganu, Perak, Perlis, Selangor dan Pahang terus meningkat, manakala di Kelantan dan Kedah mencatatkan sedikit pengurangan.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,111 orang daripada 1,245 keluarga petang ini berbanding 3,483 orang daripada 1,131 keluarga pagi tadi, dengan 49 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan hujan kini masih melanda di kebanyakan kawasan di Terengganu dan jumlah mangsa banjir dijangka meningkat.
Berdasarkan laporan publicinfobanjir.water.gov.my pula, paras air Sungai Nerus di tiga lokasi iaitu di Kampung Bukit (F1), Kampung Langkap dan Kampung Bukit di Setiu kini telah melepasi paras bahaya.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah sedikit bertambah apabila merekodkan 5,689 mangsa daripada 1,749 keluarga petang ini berbanding 5,620 mangsa daripada 1,746 keluarga yang berlindung di 45 PPS pagi tadi.
Daerah Manjung kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,098 orang daripada 641 keluarga masih ditempatkan di 17 PPS, diikuti Perak Tengah (1,393 orang), Hilir Perak (1,197), Bagan Datuk (706), Muallim (79), Larut, Matang dan Selama (145) serta Kuala Kangsar (71).
Di PERLIS, mangsa banjir meningkat kepada 7,622 orang petang ini, berbanding 7,501 mangsa pagi tadi, dengan 24 PPS beroperasi di Padang Besar, Arau dan Kangar bagi menempatkan kesemua mangsa.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 2,467 mangsa daripada 654 keluarga, berbanding 2,460 mangsa daripada 642 keluarga pagi tadi.
Menurut laman web Info Bencana JKM, terdapat satu PPS ditutup, sekali gus menjadikan jumlah PPS yang masih beroperasi sebanyak 14.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 21 orang daripada lapan keluarga, berbanding 19 orang daripada lapan keluarga pagi tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu Masjid Kampung Beletik, Dewan Serbeguna Dato Omar Kuala Medang dan Sekolah Kebangsaan Lubuk Kulit di Daerah Lipis.
Infopublic Banjir memaklumkan paras air di Sungai Belat di Sri Damai Kuantan merekodkan paras 3.10 meter (m) melebihi tahap waspada 3m, Sungai Lipis di Batu Malim mencatatkan 114.57m melebihi tahap amaran 114.24m dan Sungai Telemong, Bentong pula mencatatkan 98.28m melebihi tahap waspada 98.1m.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 9,187 orang daripada 3,456 keluarga berbanding 10,950 orang pagi tadi, dengan kawasan yang paling terjejas ialah Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Kota Bharu.
Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan turut memaklumkan sebanyak 61 PPS dibuka di sembilan jajahan.
Selain itu, Infopublic Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang terus kekal pada tahap bahaya apabila bacaan terbaharu pada 4.15 petang mencatatkan 10.36m, melepasi paras bahaya 9.00m sebanyak 1.36m.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 4,270 orang daripada 1,442 keluarga, berbanding 4,306 orang daripada 1,453 keluarga pagi tadi.
Menurut JPBN Kedah, kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena itu ditempatkan di 23 PPS.
-- BERNAMA