AM

Mangsa Banjir Langsungkan Akad Nikah Di Masjid Mukim Chenulang

27/11/2025 07:03 PM

KUALA KRAI, 27 Nov (Bernama) -- Dalam suasana yang serba sederhana, sepasang pengantin tetap meneruskan detik bersejarah mereka apabila selamat diijabkabulkan dalam satu majlis akad nikah di Masjid Mukim Chenulang, di sini hari ini.

Pengantin perempuan Nur Najwa Syafiqah Abdullah, 19, yang merupakan mangsa banjir berkata dia kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang selepas rumahnya dinaiki air semalam.

"Rumah saya di Kampung Kebun Pisang mula dinaiki air kira-kira dua pagi. Alhamdulillah, semua barangan hantaran perkahwinan dapat diselamatkan dengan bantuan ahli keluarga.

"Walaupun berdepan kesukaran, saya tetap berusaha memastikan hari penting ini dapat dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya kepada Bernama di masjid berkenaan di sini hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata dia merancang untuk mengadakan majlis persandingan pada hari raya kedua tahun hadapan untuk memastikan urusan keluarga yang ketika ini berdepan dengan banjir dapat diselesaikan terlebih dahulu.

"Kami sudah merancang tarikh ini beberapa bulan lepas. Tak sangka banjir datang tiba-tiba, tetapi kami anggap ini ujian. Alhamdulillah, semuanya dipermudah," katanya.

Pengantin lelaki, Ahmad Syafiy Haslan, 24, yang tinggal di Wakaf Bharu, Tumpat pula berkata walaupun tidak dapat melangsungkan majlis dalam suasana yang lebih sempurna, dia bersyukur kerana akad nikah dapat dilaksanakan dengan selamat.

"Bagi saya yang penting kami sah sebagai suami isteri. Majlis lain boleh diadakan kemudian apabila keadaan sudah pulih," katanya.

Selepas majlis ringkas yang dihadiri keluarga terdekat, pasangan mempelai itu kemudiannya mengagihkan 100 bungkus makanan dan minuman kepada mangsa banjir di PPS SK Chenulang.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496180