AM

Taburan Hujan Luar Biasa Sebabkan Banjir Termasuk Di Kawasan Tidak Berisiko - KP NADMA

27/11/2025 07:50 PM

BAGAN DATUK, 27 Nov (Bernama) -- Taburan hujan luar biasa dalam tempoh singkat menyebabkan berlaku banjir termasuk di kebanyakan kawasan baharu yang sebelum ini tidak dikategorikan sebagai berisiko, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim.

Beliau berkata melalui dapatan diterima agensi itu, kadar hujan bagi tempoh dua hari di kawasan terjejas menyamai jumlah taburan hujan dalam sebulan, mengakibatkan air sukar diserap tanah sekali gus mencetuskan bencana itu.

“Ketika lawatan di Perlis, saya dimaklumkan banyak kawasan yang tidak pernah terjejas sebelum ini turut berlaku banjir disebabkan taburan hujan luar biasa ini.

“Faktor itu turut dikuatkan dengan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memaklumkan bacaan paras air di Sungai Perak tidak menunjukkan peningkatan ketara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi banjir di beberapa kawasan sekitar Bagan Datuk hari ini.

Sehubungan dengan itu, Meor Ismail menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling kerana hujan lebat yang berlaku ketika ini dijangka berlarutan hingga Mac depan.

“Kita akan menghadapi tujuh episod hujan lebat dan kini baru episod pertama. Jadi, NADMA harap orang ramai patuh arahan pihak berkuasa dan berpindah dengan segera jika terdapat tanda berlaku banjir,” katanya.

Mengulas situasi di Perak, beliau berkata Bagan Datuk antara kawasan berisiko, dengan keadaan dijangka bertambah buruk kerana lokasinya terdedah kepada aliran air dari Sungai Perak.

“Jika hujan berterusan di Hulu Perak, Kuala Kangsar dan beberapa kawasan lain, limpahan air dijangka tiba dalam satu atau dua hari lagi ke Bagan Datuk. Saya berharap penduduk berpindah segera sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496207