AM

Calon SPM 2025 Terjejas Banjir Berjaya Dipindahkan Dalam Tempoh Masa Munasabah

27/11/2025 08:06 PM

ARAU, 27 Nov (Bernama) -- Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang terjejas banjir berjaya dipindahkan tanpa sebarang gangguan dalam tempoh munasabah untuk mereka bersiap sedia meneruskan peperiksaan berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya masih memantau keadaan itu berdasarkan cuaca dan persiapan penuh agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 “Saya ucapkan terima kasih kepada semua agensi yang telah bertungkus lumus memastikan anak-anak kita dapat menduduki SPM dengan baik tanpa gangguan… persiapan penuh agensi, saya berpuas hati dan OPS Payung telah pun kami aktifkan sebaik sahaja cuaca tidak menentu dan alhamdulillah semua berjalan dengan baik,” katanya.

Fadhlina berkata demikian selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jawi dekat sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin.

Selain itu, Menteri Pendidikan itu juga berkata kementeriannya sentiasa bersiap sedia menerusi OPS Payung yang mendapat kerjasama agensi berkaitan seperti NADMA, APM dan PDRM untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.

“Kita ada OPS Payung, itulah dan juga akan menentukan keputusan penting kami termasuk proses pemindahan, pembukaan PPS (dan) sebagainya. Agensi sangat bekerja keras ketika ini dan saya pasti menumpukan isu termasuk persiapan gelombang kedua,” katanya. 

Sementara itu, Fadhlina berkata pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sekolah terjejas berdasarkan permohonan pihak sekolah dan bagi sekolah yang melaksanakan PdPR itu akan diteruskan sehingga proses pembersihan sekolah terkesan dengan banjir selesai.

“Tak ada masalah untuk meneruskan PdPR dan biasanya untuk proses pembersihan ini kami akan laksanakan dengan segera bagi memudahkan anak-anak kembali ke sekolah sebaik saja cuaca dan suasana sudah kembali pulih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang memantau infrastruktur yang terjejas akibat banjir untuk menilai kemusnahan ataupun kerosakan dialami sekolah terlibat supaya proses pembaikan dapat dilakukan segera dengan pembaikan dijangka selesai sebelum bermula sesi persekolahan tahun depan.

“Kebanyakan infrastruktur (terjejas akibat banjir) di bawah (sekolah), maknanya ada melibatkan bengkel, makmal, dewan sukan (seperti) Sekolah Sukan Perlis, ada juga bilik guru,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496213