PASARAN

Pengukuhan Harga Minyak Kacang Soya Dorong Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

27/11/2025 09:44 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh kenaikan harga minyak kacang soya.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi turut meningkatkan sentimen pasaran.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM4,000 satu tan dan paras rintangan pada RM4,180 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Disember 2025 melonjak RM52 kepada RM4,050 satu tan, kontrak Januari 2026 meningkat RM67 kepada RM4,081 satu tan, manakala kontrak Februari 2026 naik RM66 kepada RM4,090 satu tan.

Kontrak Mac 2026 menokok RM65 kepada RM4,103 satu tan, kontrak April 2026 bertambah RM61 kepada RM4,106 satu tan, manakala kontrak Mei 2026 meningkat RM60 kepada RM4,101 satu tan.

Jumlah dagangan bagaimanapun menurun kepada 47,327 lot daripada 78,914 pada Rabu, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 282,153 kontrak daripada 283,393 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan naik sebanyak RM60 kepada RM4,100 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496258