POLITIK

Calon GRS Yakin Mampu Cipta Kejutan Di Lamag

28/11/2025 12:03 PM

KINABATANGAN, 28 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag Johainizamshah Johari tekad meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata antara fokus utamanya ialah memastikan projek pembangunan Bandar Baru Seri Milian yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas dengan kos kira-kira RM300 juta dapat diteruskan.

Pembangunan bandar menggunakan teknologi China itu melibatkan pembinaan hotel 13 tingkat dan 394 bangunan lain dan dijangka siap secara berperingkat dalam tempoh lapan hingga 15 tahun serta mampu mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan.

Johainizamshah berkata apabila bandar baharu itu siap, status Kinabatangan dapat dinaik taraf daripada majlis daerah kepada majlis perbandaran namun beliau bimbang projek itu terbantut sekiranya GRS gagal memperoleh mandat pada pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun, beliau yakin rakyat Lamag sedia melakukan perubahan dalam memilih pemimpin yang mampu membawa suara anak muda dengan hanya GRS mampu menawarkan jaminan masa depan yang baik kepada golongan itu.

Johainizamshah berkata rakyat mengimpikan pemimpin muda yang cergas, kompeten dan produktif dalam melaksanakan agenda pembangunan di kawasan tersebut.

“Saya yakin pada PRN Sabah kali ini, rakyat di sini akan memilih calon GRS dan membuat kejutan. Saya tidak menolak kemungkinan GRS memenangi kerusi DUN Lamag berdasarkan dapatan di lapangan sepanjang siri jelajah kempen,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sepanjang tiga tahun menjadi Pegawai Pembangunan Masyarakat di Lamag, sebanyak 442 geran tanah telah diserahkan di bawah Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) selain membina Rumah Sama Maju Jaya (SMJ) di Lamag.

Selain itu, Johainizamshah berkata masih memilih kempen secara tradisional menerusi kaedah rumah ke rumah bagi mendengar sendiri denyut nadi rakyat yang disifatkan lebih menyentuh hati pengundi, dengan beliau telah berjaya melepasi sasaran ditetapkannya sejak awal kempen.

Menyentuh konsep hiburan dalam berkempen, beliau berkata pendekatan itu hanya memberi keseronokan sementara dan bukan kaedah paling berkesan untuk meraih sokongan pengundi muda.

“Anak muda hari ini berbeza dengan dahulu. Mereka lebih bijak menilai antara kaca dan permata. Justeru fokus utama kita ialah memastikan masa depan mereka terjamin,” katanya.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N58: LAMAG: SABAH: 13,859

 

1. Datuk Seri Bung Moktar Radin   (BN-UMNO)

2. Johainizamshah Johari               (GRS-Gagasan Rakyat)

3. Salahuddin @ Salehuddin Anoi  (PIS)

4. Mohd Saifullah Lokman              (Warisan)

5. Mohd Ismail Ayob                       (Bebas)

6. Mazlin Madali                             (PN-Bersatu)

 

(2020: Datuk Seri Bung Moktar Radin: BN-UMNO: Maj: 661)

 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496374