LAHAD DATU, 28 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata beliau sudah bertemu dengan pengundi di hampir semua lokaliti di DUN itu sepanjang dua minggu berkempen.
Beliau berkata jawatankuasa wanita, pemuda dan beliawanis bersama parti komponen GRS iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) turut membantu dalam kempen berkenaan.
Abdul Hakim berkata selain itu jentera daripada Pakatan Harapan iaitu PKR, Parti Amanah turut bersama-sama membantu bagi memastikan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang berlangsung Sabtu ini.
"Walaupun kawasan (DUN) terlalu luas tetapi sebahagian besarnya, iaitu hampir kesemua lokaliti kita dapat turun untuk bertemu dengan masyarakat di kawasan Tungku ini," katanya kepada Bernama pada sesi ramah mesra bersama penduduk di Kampung Bakapit di sini hari ini.
"Saya berharap pengundi Tungku akan memberi sokongan kepada Kerajaan GRS pada 29 hari bulan ini, kita yakin di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Hajiji Noor, masa depan Sabah akan lebih baik," katanya.
Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N60: TUNGKU: SABAH: 24,741
1. Saleha Abdul Wahid (BN-UMNO)
2. Suling Isib (STARSABAH)
3. Assaffal @ Samsul Kamal P Alian (Warisan)
4. Jani Kulmen (PKS)
5. Jakaria Nasiran (PPRS)
6. Hairunnizam Kamsin (PIS)
7. Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan (GRS-Gagasan)
(2020:Assaffal @ Samsul Kamal P Alian (Warisan): Maj: 268)
-- BERNAMA