POLITIK

PRN Sabah: Cemerlang Dua Penggal, Nizam Mahu Terus Bangunkan Apas

28/11/2025 02:42 PM

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 28 Nov (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berazam untuk mewartakan beberapa perkampungan di kawasan berkenaan yang selama ini dianggap sebagai setinggan, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.  

Nizam, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata Apas merupakan kawasan pesisir pantai dengan banyak petempatan telah lama didiami penduduk, tetapi masih belum diwartakan secara rasmi.

"Saya berusaha untuk mewujudkan kampung baharu dengan pewartaan kawasan yang selama ini dipanggil setinggan.

"Baru-baru ini, saya berjaya mendapat kelulusan kerajaan untuk mewartakan petempatan di Kampung Pangkalan Inderasabah setelah orang kampung menunggu selama bertahun-tahun. Masih banyak lagi petempatan yang perlu diselesaikan, dan saya akan teruskan usaha ini," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Nizam turut merancang untuk membangunkan bandar baharu, melaksanakan Program Perumahan Rakyat serta mewujudkan fakulti Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menumpukan bidang sesuai dengan potensi tempatan di DUN Apas.

Beliau juga berusaha memperkukuh ekonomi penduduk melalui kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Sabah, dan Kolej Komuniti bagi meningkatkan kemahiran baharu penduduk kampung, sekali gus menjana pendapatan.

Sebagai penyandang DUN Apas selama dua penggal, Nizam berkata pelbagai isu rakyat telah berjaya ditangani termasuk berkaitan jalan kampung, jambatan dan bekalan air.

"Bekalan air yang menjadi isu di kawasan kita menunjukkan tanda-tanda positif apabila paip air lama di beberapa kampung telah digantikan dengan paip yang lebih besar dan baharu.

"Sebelum itu, pembinaan tangki statik juga berjaya dilaksanakan di tujuh kawasan bagi membantu mengurangkan kesukaran penduduk mendapatkan bekalan air bersih," katanya.

Berkongsi "kad laporan" beliau, Nizam berkata beberapa jalan utama kampung turut dinaik taraf daripada jalan gravel kepada jalan berturap termasuk di Kampung Titingan, Kampung Hidayat Batu 4, Kampung Tinagat, dan Kampung Inderasabah bagi meningkatkan keselesaan dan akses penduduk luar bandar.

Selain itu, masjid usang seperti Masjid Tawfiq Al-Hidayat Kampung Apas Parit dan Masjid Nurul Awwal Kampung Sungai Apas telah dibina semula, di samping projek tebatan banjir di kawasan Sungai Tawau dan Batu 4.

"Turut dilaksanakan ialah pembangunan persisiran pantai Tinagat dan Batu Payung sebagai destinasi tarikan pelancong, serta projek perumahan mesra rakyat Sabah Maju Jaya," katanya.

Sementara itu, Penyelia Kemajuan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Apas, Mohd Hafiz Rustam berkata Nizam sangat konsisten dalam memastikan kemudahan asas seperti jalan, jambatan dan bekalan air dapat dinikmati penduduk kampung.

Seorang penduduk Batu Payung yang juga pengundi Apas, Sabturani Angsa, 77, berharap dapat memilih pemimpin yang rajin turun padang, tidak kekok bertemu rakyat, serta membawa pembangunan di Apas.

Badrie Mahmad, 45, dari Wakuba, pula berkata dia akan memilih pemimpin yang sudah dikenali dan banyak berjasa kepada rakyat.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 

N68: APAS: SABAH: 32,241

1. Sarman Amat Simito                       (Warisan)

2. Marsiah Omat                                 (PPRS)

3. Herman Amdas                               (PIS)

4. Datuk Nizam Abu Bakar Titingan    (GRS-Gagasan rakyat)

5. Dr Elmiariezan Ardan                      (BN-UMNO)

6. Lim Ting Khai                                   (PN-Bersatu)

(2020: Nizam Abu Bakar Titingan: PN-Bersatu: Maj: 2,049)

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496441