JAKARTA, 28 Nov (Bernama-CMG) -- Forum Kumpulan Pemikir China-Indonesia 2025, yang juga merupakan Forum Antarabangsa Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Hubungan Diplomatik China-Indonesia berlangsung di sini, pada Rabu.
Presiden Akademi Sains Sosial China (CASS) Gao Xiang, dan Timbalan Pengerusi Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN) Amarulla Octavian menghadiri majlis perasmian dan menyampaikan ucapan.
Gao menyatakan, penjalinan ikatan diplomatik antara China dan Indonesia pada 75 tahun lepas telah membuka bab baharu dalam sejarah hubungan kedua-dua negara.
"China bersedia meningkatkan pertukaran dengan negara-negara Selatan Global termasuk Indonesia dalam bidang pentadbiran negara dan pembinaan modenisasi, berganding bahu untuk membina dunia yang lebih indah," kata Gao.
Amarulla pula berkata, forum itu menyediakan platform bagi meningkatkan hubungan perkongsian dan kerjasama antara kalangan akademik Indonesia-China.
Beliau berharap agar pelbagai pihak dapat mengambil peluang ini untuk menggalakkan pengaplikasian hasil pengajian supaya membawa lebih banyak manfaat kepada pembangunan masyarakat kedua-dua negara.
Dalam seminar itu, pakar dan sarjana dari kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan mengenai topik-topik seperti peningkatkan kerjasama pragmatik dua hala, dan makna penting kerjasama China-Indonesia bagi rantau ini dan dunia.
Seminar itu diyakini akan memainkan peranan penting untuk memberikan cadangan kepada usaha mempromosikan pembinaan bersama Jalur dan Laluan yang berkualiti tinggi, meningkatkan hubungan perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara, serta pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Indonesia.
-- BERNAMA-CMG