KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Tepat 11.59 tengah malam ini, semua calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 perlu menamatkan segala aktiviti kempen termasuk ceramah, kempen media sosial, pemasangan poster dan lawatan bertemu pengundi.
Hasil usaha dan gerak kerja kempen sepanjang 14 hari sejak 15 Nov lepas akan ditentukan esok oleh 1.76 juta pengundi yang akan mengundi memilih wakil rakyat yang diyakini mampu merealisasikan hasrat untuk melihat kemajuan di kawasan masing-masing.
Semua 882 pusat mengundi di seluruh negeri dengan 3,558 saluran mengundi akan dibuka serentak pada 7.30 pagi esok sebelum ditutup secara berperingkat bermula 12 tengah hari hingga 5.30 petang.
Pada Selasa lepas, sebanyak 17,615 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera bersama pasangan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik 25 pegawai pengurus pilihan raya dengan dibantu 196 penolong pegawai pengurus bagi memastikan kelancaran pengundian pada PRN kali ini yang dianggarkan melibatkan peruntukan RM116.8 juta.
Selain itu, lebih 12,000 anggota polis juga dikerah bagi memastikan kelancaran hari mengundi pada esok.
SPR menjangkakan keputusan awal pengundian dapat diumumkan kira-kira 10 malam, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Semakan di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati hujan dijangka melanda beberapa tempat di Sabah pada pagi esok, manakala ribut petir diramal di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman pada sebelah petang.
Hujan juga dijangka melanda beberapa tempat pada sebelah malam.
PRN ke-17 menyaksikan pertembungan paling sengit di DUN Tulid dengan 14 calon bertanding, diikuti Bandau, Tamparuli dan Inanam (masing-masing 13 penjuru) serta Banggi (12 penjuru).
Pada PRN kali ini, sebanyak 596 calon bertanding di 73 kerusi DUN yang terdiri daripada 525 lelaki dan 71 wanita.
Daripada jumlah itu, calon Bebas mencatat jumlah tertinggi, iaitu 74 orang, diikuti Parti Warisan (73), Parti Impian Sabah (72), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (55), Parti Solidariti Tanah Airku (46), Barisan Nasional (45), PN (42), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (40), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (25) dan Pakatan Harapan (22).
Selepas tempoh penamaan calon pada 15 Nov lepas, PH disahkan bertanding di 22 kerusi.
Bagaimanapun, dua hari kemudian, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan dari PKR yang diletakkan di DUN Silam menarik diri.
SPR menegaskan bahawa tindakan menarik diri Abdul Halim tidak dibenarkan menurut peraturan sedia ada dan namanya kekal tersenarai sebagai calon PH dalam kertas undi bagi DUN berkenaan.
Turut bertanding ialah Parti Kebangsaan Sabah (20), Parti Kerjasama Anak Negeri (17), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (16), Parti Bumi Kenyalang (14), Parti Rumpun Sabah (7), Parti Maju Sabah (6), Parti Damai Sabah (5), Perjuangan Rakyat (6), Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (3), Parti Bangsa Malaysia (3), dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (3).
Sementara itu, Parti Bersatu Sasa Malaysia dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah masing-masing satu calon.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA