SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.
Turut berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Ketibaan baginda berdua disambut oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.
Mastura dalam ucapannya berkata SIBF 2025 menerima penyertaan 14 negara dengan empat penceramah forum antarabangsa dan 12 felow, termasuk Pengarah Eksekutif Sharjah House of Wisdom Marwa Al Aqroubi serta Ketua Pegawai Eksekutif Nami Island Arts and Education Incorporated merangkap Ahli Lembaga Amanah International Board on Books for Young People (IBBY) Fred Minn.
Beliau berkata tokoh utama lain termasuk Ahli Lembaga Pengarah IBBY yang juga Presiden Lifetree Promotion Center Zhang Mingzhou serta Pengarah Jabatan Penerbitan Antarabangsa Southern Publishing and Media Co. Ltd. China, Chen Bin.
“Tahun ini adalah penganjuran pertama Bengkel Duta yang telah berlangsung semalam di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam serta Forum Antarabangsa Selangor.
“Guangdong, China menyertai pesta buku ini buat kali kedua sebagai Negara Fokus dan Rakan Pesta Buku, manakala Tamil Nadu, India yang telah mengundang kami ke Pesta Buku Antarabangsa Chennai 2024 turut menjadi Negara Fokus,” katanya.
Mastura turut berkongsi bahawa agensi negeri itu akan mengetengahkan satu daripada projek berorientasikan komuniti menjelang Kongres Perpustakaan dan Maklumat Dunia (WLIC) 2025 anjuran Persekutuan Persatuan Perpustakaan dan Institusi Antarabangsa (IFLA) di Kazakhstan.
Beliau berkata projek berkenaan melibatkan pembentangan poster bertajuk Healing Through Urban Farming di PPAS Kampung Lindungan @ PJKita Community Library, yang menonjolkan inisiatif menghubungkan komuniti dengan alam serta memupuk kesejahteraan menyeluruh.
“Persidangan IFLA tahun ini mencatatkan penyertaan poster paling banyak daripada Perpustakaan Raja Tun Uda dan PPAS dengan tujuh poster mewakili inisiatif pelbagai perpustakaan,” katanya.
Pada majlis itu, turut diadakan pelancaran buku bertajuk The Mysterious and Magical World of Fireflies, Kampung Kuantan, Kuala Selangor.
-- BERNAMA