SEREMBAN, 1 Dis (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat di sini dijadikan Sekolah Angkat MADANI (SAM) di bawah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaras usaha kerajaan memperkukuh ekosistem pendidikan melalui penglibatan meluas agensi perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan berkata inisiatif itu juga membolehkan jabatan berkenaan menyokong pembangunan sekolah secara lebih tersusun khususnya dari aspek kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif.
"Kita telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan berjumlah RM100,000 yang digunakan untuk melaksanakan baik pulih atau menaik taraf ruang pembelajaran utama iaitu pusat akses, bilik pemulihan khas dan makmal komputer sekolah ini.
“Ia bertujuan memberikan keselesaan kepada pelajar dan kita memberi sokongan padu dalam meningkatkan serta memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak-anak ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan program sekolah angkat berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata pemilihan sekolah angkat dibuat berdasarkan senarai dikemukakan Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan sekolah yang mempunyai keperluan tertentu termasuk dari segi kemudahan dan infrastruktur bagi menyokong pelaksanaan PdP yang lebih berkesan.
“Kebanyakan sekolah disenaraikan mempunyai asas infrastruktur, namun terdapat ruang yang memerlukan penambahbaikan. SK Sikamat dengan lebih 1,000 murid dan masih beroperasi dua sesi, sememangnya memerlukan sokongan bagi memastikan proses pendidikan berjalan dengan lebih lancar,” katanya.
Julina berkata projek SAM itu bermula pada 26 Sept lepas dan disiapkan lebih awal daripada tempoh kontrak, iaitu pada 13 Nov berbanding tarikh kerja siap asal dijadualkan pada 21 Nov lepas.
Sempena majlis penyerahan itu juga, turut dianjurkan Program PENTARAMA Homecoming yang merupakan projek rintis diperkenalkan JAPEN dengan pelbagai pengisian termasuk sembang santai kenegaraan, peragaan busana tradisional dan permainan interaktif.
Beliau berkata program berbentuk hiburan secara santai dan interaktif itu berperanan sebagai platform memperkukuh patriotisme, jati diri serta kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid, khususnya sekolah rendah.
-- BERNAMA