CHUKAI, 1 Dis (Bernama) -- Sembilan pekerja mengalami sesak nafas selepas terhidu gas bertoksik ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kilang memproses makanan haiwan di kawasan Taman Biopolimer Kerteh di Kerteh dekat sini semalam.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Penguasa Kanan Bomba II Rohaya Jamil berkata seramai 18 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada 6.51 petang.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kesemua mangsa berusia 23 hingga 40-an sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tangki di kilang tersebut… bagaimanapun, secara tiba-tiba mereka mengalami gangguan pernafasan ekoran terhidu gas bertoksik dipercayai gas ammonia," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata semua mangsa berjaya diselamatkan oleh pekerja lain sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Paka untuk menerima rawatan, dengan enam telah dirujuk ke Hospital Dungun manakala tiga lagi dibenarkan pulang.
"Dalam operasi itu, pasukan bomba melakukan supresi air bagi menurunkan bacaan gas bertoksik di kilang tersebut," katanya.
Rohaya juga berkata operasi ditamatkan pada 1.05 pagi tadi selepas bacaan kembali normal dan tiada kehadiran gas dikesan di lokasi kejadian.
-- BERNAMA