AM

Suami Tidak Sangka Isteri Maut Dalam Kemalangan, Sepatutnya Cuti Hari Ini

01/12/2025 04:19 PM

GEORGE TOWN, 1 Dis (Bernama) -- Suami kepada wanita yang maut dalam kemalangan di Jalan Mount Erskine di sini awal pagi tadi langsung tidak menyangka isterinya meninggal dunia dalam insiden itu kerana menerima panggilan hanya memaklumkan terlibat dalam kemalangan.

Shahrin Not, 50, berkata beliau dan tiga anaknya bergegas ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum mendapati isterinya Norehan Abdul Ghani, 50, telah meninggal dunia dan diminta membuat pengecaman.

Beliau yang tinggal di Teluk Bahang dekat sini masih terkejut dan tidak menyangka rutin harian Norehan untuk ke tempat kerja di sebuah kilang di Bayan Baru berakhir dengan tragedi meragut nyawa isterinya yang dipercayai tercampak dari dalam van kilang berkenaan. 

“Isteri memang naik van kilang sejak lebih 15 tahun selepas kilang arwah bekerja menghentikan penggunaan bas dan arwah bekerja 22 tahun di kilang itu sebagai operator.

“Sebelum isteri pergi kerja, dia beritahu yang cuti sepatutnya hari ini tukar kepada Selasa dan Rabu, arwah keluar 4 pagi naik van kilang sebelum saya terima panggilan daripada kawan anak kira-kira 7 pagi tadi yang memberitahu isteri kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini hari ini. 

Dalam kemalangan pada 5.59 pagi tadi, seorang wanita maut manakala tujuh lagi termasuk pemandu van kilang cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas.

Shahrin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata semasa membuat pengecaman, beliau mendapati arwah isterinya tidak mengalami kecederaan parah pada luaran dan menurut doktor arwah cedera dalaman khususnya tulang rusuk.

“Arwah memang tiada sakit apa-apa dan dia pun sihat sahaja, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pagi tadi isteri sempat mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga video kucing kesayangnya dan arwah memang sayang kucing-kucing termasuk di jalanan.

“Saya dan anak-anak reda dengan ketentuan ini walaupun sangat sedih dengan kemalangan itu, kami sudah pasti akan merindui arwah kerana dia isteri dan ibu yang baik,” katanya yang telah berkahwin dengan Norehan 26 tahun lepas.

Dalam pada itu, anak bongsu kepada arwah Siti Shahidani, 21, berkata semalam ibunya memberitahu mahu membawa mereka pulang ke Kampung Permatang Bogak, Butterworth esok kerana mahu mengambil beberapa barangan di sana.

“'Semalam mak kata Selasa kita balik seberang (kampung mak), tak sangka pula jadi macam ini (kemalangan maut), mak memang tak tunjuk sebarang perubahan dan malam tadi pun arwah tengok televisyen sama-sama,” katanya yang beberapa kali menahan sebak.

Pasangan itu mempunyai tiga anak iaitu Siti Shahida, 25, Muhamad Shahidan, 23 serta Siti Shahidani, dan jenazah Norehan akan dikebumikan selepas solat Asar di Kampung Permatang Bogak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata siasatan mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu van kilang, lelaki tempatan berusia 59 tahun dalam perjalanan dari Teluk Bahang ke Bayan Baru hilang kawalan di Jalan Mount Erskine lalu terlanggar tembok di kanan jalan.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, seorang penumpang wanita berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van dan enam wanita yang kesemuanya berusia 21 hingga 53 tahun mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di HPP.

“Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Perubatan HPP dan mengesahkan punca kematian adalah kecederaan pada bahagian kepala konsisten dengan kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca kejadian kemalangan itu daripada pelbagai sudut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497529