EKONOMI

NETR Rangsang Permintaan Domestik Bas Elektrik, Tingkat Daya Saing Negara

01/12/2025 05:16 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 1 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menyasarkan peningkatan ketara penggunaan bas elektrik, dilihat turut membuka peluang pertumbuhan baharu kepada pengeluar tempatan termasuk Gemilang Coachwork Sdn Bhd (GML). 

Pengarah Eksekutif GML Pang Jun Jie berkata fokus kerajaan terhadap peralihan tenaga dan mobiliti hijau bukan sahaja merangsang permintaan domestik, malah meningkatkan daya saing Malaysia sebagai hab pembuatan bas elektrik di rantau ini.

“Sebagai sebahagian daripada agenda nasional ini, penggunaan bas elektrik memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan berkaitan pengangkutan dan mempercepat peralihan ke arah penyelesaian mobiliti yang lebih bersih.

“Johor berada di barisan hadapan transformasi ini, disokong oleh ekosistem perindustrian yang kukuh, infrastruktur moden, tenaga kerja mahir, serta hubungan strategik yang menjadikannya pangkalan ideal untuk pembuatan dan eksport bas elektrik,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata GML memberi tumpuan kepada pembangunan badan bas ringan berasaskan aluminium serta reka bentuk modular yang boleh digabungkan dengan pelbagai casis OEM antarabangsa seperti Volvo, Scania, MAN, CRRC dan BYD.

Inovasi tersebut selari dengan hala tuju NETR yang menekankan kenderaan lebih cekap tenaga, sekali gus membuka peluang kepada pemain tempatan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memasarkan produk berasaskan teknologi hijau, kata beliau.

Menurut Pang, dengan kapasiti sehingga 500 unit bas diimport siap sepenuhnya (CBU) dan 1,000 kit pemasangan tempatan (CKD) setahun, GML yakin permintaan yang didorong NETR akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pengeluar bas elektrik serantau serta penyumbang penting kepada ekonomi hijau negara.

GML, yang beroperasi di fasiliti pengeluaran Senai sejak lebih 30 tahun lepas, membekalkan bas kepada pengendali utama seperti Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, menjadikan syarikat itu antara peneraju dalam usaha elektrifikasi pengangkutan awam negara.

Selain pasaran tempatan, GML turut mengukuhkan pencapaian eksport dengan menembusi lebih 15 negara termasuk Singapura, Hong Kong, Australia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS).

Antara pencapaian utama syarikat ialah pesanan eksport terbesar 190 kit badan bas CKD ke Uzbekistan serta penghantaran bas sekolah elektrik CBU ke AS, yang membuktikan kemampuan teknologi tempatan mematuhi piawaian global.

Beliau berkata kini syarikat itu sedang membekalkan 76 bas dua tingkat ke Dubai (UAE) melalui kerjasama dengan FAMCO dan Volvo, projek yang menyumbang kepada pertumbuhan eksport bernilai tinggi bagi sektor pembuatan Malaysia.

Pang berkata ekosistem industri Johor yang meliputi tenaga kerja mahir, jaringan pembekal kukuh serta kemudahan logistik melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Port dan Pelabuhan Singapura memberikan kelebihan kepada pengeluar tempatan untuk memenuhi permintaan antarabangsa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497584