KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang antara lain bagi membolehkan penggunaan teknologi baharu dalam memeterai perjanjian sewa beli serta menjadikan ia lebih komprehensif sesuai dengan peredaran masa.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 11 Senator.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata RUU bertujuan meminda Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212) itu, mengandungi 22 fasal antaranya mengiktiraf tandatangan digital, dokumen elektronik dan kaedah pengesahan digital sebagai sah di sisi undang-undang untuk perjanjian sewa beli selaras dengan Akta Tandatangan Digital 1997 (Akta 562).
“Melalui pindaan ini, kedua kaedah tandatangan baharu tersebut termasuk penyerahan dokumen secara automatik dan elektronik akan dibenarkan penggunaannya sebagai option tambahan daripada kaedah fizikal yang ada.
“Pengguna yang masih belum selesa dengan kaedah moden ini masih boleh meneruskan urus niaga sewa beli menggunakan kaedah tradisional,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Negara hari ini.
Selain itu, Fuziah berkata pemansuhan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap akan memberi manfaat kepada pengguna melalui faedah pengurangan baki, dengan caj faedah akan dikira berdasarkan baki pinjaman semasa.
“Jadi kaedah ini membolehkan pengguna memahami melalui ansuran bulanan mereka jumlah yang diperuntukkan untuk caj faedah serta jumlah untuk pembayaran balik pinjaman,” katanya.
Beliau berkata penjimatan yang dinikmati akan menjadi lebih tinggi sekiranya mereka memilih untuk menyelesaikan kontrak sewa beli pada peringkat awal tempoh pinjaman kerana Peraturan 78 sebelum ini menyebabkan faedah dibayar lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA