PASARAN

Aktiviti Pembelian Saham Murah Dorong Bursa Malaysia Ditutup Tinggi

01/12/2025 07:34 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan bulan terakhir tahun ini dengan kedudukan lebih kukuh apabila indeks utama naik 1.25 peratus ketika ditutup Isnin, didorong oleh aktiviti pemburuan saham murah yang kembali aktif dan pengimbangan semula portfolio hujung tahun oleh pelabur institusi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 20.10 mata, atau 1.25 peratus, kepada 1,624.57 daripada 1,604.47 ketika ditutup Jumaat lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka naik 3.79 mata kepada 1,608.26, bergerak antara 1,608.26 dan 1,625.42 sepanjang hari.

Bagaimanapun, di pasaran lebih luas mencatatkan prestasi negatif, dengan kaunter rugi melebihi kaunter untung iaitu 681 berbanding 526. Sebanyak 505 kaunter tidak berubah, 977 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turut merosot kepada 3.99 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 4.09 bilion unit bernilai RM3.36 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Pengarah Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata prestasi sektor adalah menyeluruh, tetapi pergerakan paling ketara adalah daripada saham-saham wajaran tinggi yang diketuai sektor perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan media, serta sektor produk perindustrian dan perkhidmatan.

“Putaran ini menandakan selera risiko yang semakin baik apabila pelabur kembali menumpukan kepada kaunter kitaran dan yang berkaitan permintaan domestik selepas pelabur mengelak risiko pada minggu lalu,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh isyarat makro yang memberangsangkan apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia S&P Global yang diselaraskan mengikut musim meningkat daripada 49.5 pada Oktober kepada 50.1 pada November, menandakan pergerakan pertama kembali ke wilayah pengembangan sejak Mei 2024.

“Peningkatan ini mengukuhkan pandangan bahawa keadaan sektor perkilangan mungkin sedang stabil, dengan firma melaporkan optimisme yang lebih tinggi mengenai pengeluaran masa depan. Malah, keyakinan perniagaan meningkat ke tahap tertinggi sejak Julai 2013, disokong oleh jangkaan peningkatan pengeluaran, pembangunan produk baharu, dan permintaan pelanggan yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran ekuiti serantau meningkat secara meluas, didorong oleh optimisme terhadap kemungkinan pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang terus menyokong selera risiko.

“Pelabur mengambil sikap berhati-hati tetapi positif menjelang pengumuman beberapa data utama: PMI November China, PMI Pembuatan dan Indeks Harga Pengguna Zon Euro, serta pengeluaran perindustrian dan pembuatan serta pengangguran AS pada September,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 6.0 sen kepada RM9.97, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.36, CIMB melonjak 30 sen kepada RM7.95, manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing naik 14 sen kepada RM13.32 dan RM8.40.

Bagi saham paling aktif, Tanco menokok 3.0 sen kepada RM1.16, Aquawalk naik 3.5 sen kepada 38 sen, Zetrix AI susut 1.0 sen kepada 81.5 sen, Inari Amertron merosot 26 sen kepada RM1.93, manakala Perak Transit tidak berubah pada 26 sen.

Antara saham paling untung ialah Nestle yang naik RM4.70 kepada RM111.60, BLD Plantation meningkat 70 sen kepada RM16.50, Hong Leong Industries menambah 64 sen kepada RM15.64, Dutch Lady mencatat kenaikan RM1.40 kepada RM31.40 dan Petronas Dagangan menokok 78 sen kepada RM20.60.

Saham paling rugi ialah Kuala Lumpur Kepong yang susut RM1.10 kepada RM19.10, Malaysian Pacific Industries turun 56 sen kepada RM31.36, PPB Group berkurangan 42 sen kepada RM10.58, manakala Panasonic Manufacturing dan Bintulu Port masing-masing merosot 15 sen kepada RM7.20 dan RM5.15.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 82.90 mata kepada 11,998.87, Indeks FBM Emas Shariah naik 52.56 mata kepada 11,903.46, Indeks FBMT 100 menambah 89.29 mata kepada 11,790.26, dan Indeks FBM ACE meningkat 7.29 mata kepada 4,831.91, namun Indeks FBM Mid 70 susut 120.25 mata kepada 16,735.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 209.50 mata kepada 18,785.45, Indeks Produk Perindustrian & Perkhidmatan meningkat 1.93 mata kepada 165.96 dan Indeks Tenaga naik 1.67 mata kepada 749.45, manakala Indeks Perladangan susut 38.20 mata kepada 8,033.92.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.45 bilion unit bernilai RM2.34 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM2.92 bilion pada Jumaat lepas.

Dagangan waran meningkat kepada 2.19 bilion unit bernilai RM321.14 juta berbanding 1.79 bilion unit bernilai RM255.37 juta sebelum ini.

Dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 341.26 juta unit bernilai RM126.54 juta berbanding 541.51 juta unit bernilai RM189.06 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 281.31 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk perindustrian dan perkhidmatan (213.04 juta), pembinaan (106.10 juta), teknologi (214.23 juta), perkhidmatan kewangan (86.18 juta), hartanah (185.76 juta), perladangan (69.66 juta), REIT (24.30 juta), dana tertutup (11,000), tenaga (89.79 juta), penjagaan kesihatan (57.52 juta), telekomunikasi dan media (37.99 juta), pengangkutan dan logistik (27.42 juta), utiliti (39.11 juta) dan amanah perniagaan (14,300).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497665