JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Bungkus Vape Campur Ketamin Tumpas, Tiga Lelaki Ditahan

02/12/2025 02:32 PM

SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pembungkusan vape dicampur dadah dengan penahanan tiga lelaki menerusi serbuan di sebuah premis di Klang, pada 27 Nov lepas.

‎Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dalam operasi kira-kira 2 petang di premis dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan bahan terlarang itu, polis merampas 2,068 kartrij, 550 unit pod dan 240 botol berisi cecair vape campuran dadah jenis ketamin kira-kira 61 liter berjumlah RM3.04 juta dipercayai untuk pasaran dalam negara. 

‎‎Beliau berkata sindiket itu yang dikenal pasti aktif sejak enam bulan lepas memperoleh produk terbabit secara dalam talian sebelum menjual kepada pembeli secara terbuka. 

‎‎"Ketiga-tiga warga tempatan itu berumur antara 33 hingga 49 tahun. Masing-masing berperanan sebagai penjual, penjaga stor dan pembungkus dengan pendapatan antara RM1,200 hingga RM2,500 serta turut bergantung kepada komisen jualan produk mengandungi bahan terlarang itu. ‎

“Kesemua mereka negatif terhadap dadah namun seorang daripadanya memiliki tiga rekod kesalahan jenayah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

‎‎Shazeli berkata polis turut menyita tiga kereta dan lima barangan kemas dianggar bernilai RM134,800 manakala kesemua lelaki terbabit kini direman hingga 6 Dis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497898