AM

Industri Sarang Burung Negara Terus Berkembang - Mohamad Sabu

04/12/2025 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Industri sarang burung walet Malaysia dianggarkan bernilai sekitar RM1.5 bilion hari ini terus menunjukkan potensi besar dan perkembangan yang sangat menggalakkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata industri bernilai tinggi itu turut mencatat perkembangan apabila eksport ke China meningkat daripada 201 tan pada 2023 kepada 484 tan tahun lepas, memperlihatkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap kualiti produk Malaysia.

“Malaysia baru sahaja memeterai protokol baharu dengan pihak berkuasa China bagi melancarkan semula eksport sarang burung ke pasaran terbesar dunia itu. Pembukaan semula pasaran ini memberi ruang baharu kepada pengusaha tempatan untuk kembali meningkatkan eksport.

“Kami mahu pastikan pengusaha kecil mahupun besar menerima manfaat secara langsung. Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan semua pemain industri bagi memastikan kemudahan dan standard pemprosesan berada pada tahap terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Protokol baharu bagi eksport Sarang Burung Boleh Dimakan (EBN) antara Malaysia dan China dimeterai bulan lepas, mengukuhkan lagi hubungan perdagangan pertanian antara kedua-dua negara serta meningkatkan semula kepercayaan China terhadap sistem kawal selia dan keselamatan makanan Malaysia. 

Perjanjian itu dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 15,000 pengusaha rumah burung walet dan 61 loji pemprosesan yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa China, sekali gus meningkatkan daya saing eksport agromakanan negara

Terdahulu, Mohamad berkata beliau menerima kunjungan dari Persatuan Industri Burung Walet dan Pengeksport Malaysia di Wisma Lembaga Pertubuhan Peladang.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499028