CYBERJAYA, 3 Dis (Bernama) -- KFC Malaysia mengesahkan semula kerjasama jangka panjang dengan Johor Motorsports Racing (JMR) apabila kedua-dua organisasi meneruskan usaha untuk memberi inspirasi dan membangunkan bakat muda Malaysia dalam sukan permotoran.
Kerjasama yang kini memasuki tahun keenam itu mencerminkan komitmen KFC Malaysia terhadap usaha pembinaan negara serta keyakinan bahawa sukan mampu memperkasa generasi muda dan membuka peluang dalam pelbagai bidang dalam ekosistem sukan permotoran.
Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim berkata sukan kekal sebagai platform penting bagi golongan muda Malaysia untuk meneroka dan merealisasikan potensi mereka.
“Sukan sentiasa membawa kebaikan, khususnya kepada generasi muda. Terdapat banyak bakat di luar sana yang perlu dibimbing dengan betul dalam industri sukan yang sepatutnya.
“Saya fikir amat penting untuk memberikan peluang itu kepada semua bakat muda, sama ada dalam perlumbaan, kejuruteraan, mekanik atau mana-mana bidang lain. Malaysia mempunyai begitu banyak bakat yang masih belum diberikan peluang untuk mencapai potensi sepenuhnya,” kata Tunku Abdul Rahman.
Tunku Panglima Johor berkata demikian selepas sesi Sembang Kereta Edisi 2025 bersama Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Tunku Abdul Rahman menyampaikan rasa penghargaan baginda terhadap KFC, sambil menyifatkan tahun ini sebagai istimewa kerana menandakan tahun keenam JMR bekerjasama dengan jenama itu.
“Ini adalah tahun keenam kami bekerjasama dengan KFC, dan mereka menyokong saya sejak musim rookie saya pada 2019.
“Mereka adalah penaja pertama yang mempercayai kami, saya dan pasukan sepanjang tempoh enam tahun ini. Mereka adalah rakan kerjasama yang luar biasa,” kata Tunku Abdul Rahman.
Ketika ditanya mengenai inspirasi baginda untuk menjadi pelumba, Tunku Abdul Rahman berkongsi bahawa sukan permotoran sudah lama menjadi impian zaman kanak-kanaknya, sesuatu yang tidak disangka-sangka dapat direalisasikan sehingga peluang itu datang.
“Ini adalah impian saya sejak kecil. Apabila peluang itu muncul, saya menerimanya sepenuh hati,” kata Tunku Abdul Rahman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd Nehchal Khanna berkata syarikat berkenaan berbangga untuk terus menyokong kemajuan JMR di pentas antarabangsa.
“Di KFC dan QSR Brands, kami mahu menginspirasi generasi muda Malaysia untuk mengeluarkan yang terbaik dalam diri mereka dan mencapai kejayaan besar. JMR adalah contoh klasik.
“Kita ada dua putera muda, kedua-duanya adik-beradik, bersaing secara adil di pentas global. Ini menunjukkan bahawa apabila rakyat Malaysia bekerja keras dan bersemangat untuk berjaya, mereka mampu mencapai keputusan luar biasa,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 200 pelajar universiti diberi peluang eksklusif meninjau secara dekat teknologi, kerjasama pasukan dan ketelitian yang mendasari kejayaan JMR.
Mereka turut menyertai sesi interaktif Sembang Kereta Edisi 2025 bersama Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar, yang berkongsi perjalanan mereka sebagai pelumba JMR, sekali gus memberikan pandangan berharga mengenai disiplin, dedikasi dan semangat yang diperlukan dalam perlumbaan kompetitif.
-- BERNAMA