KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad memainkan peranan penting dalam menyokong sistem penjagaan kesihatan di negara ini, yang melangkaui fungsinya sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan swasta.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata kumpulan itu kekal komited untuk memastikan amalan, pendidikan, penyelidikan dan inovasi bergerak seiring bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan serta bakat masa depan.
“ ... KPJ adalah sebuah korporatisasi yang bertanggungjawab dan memastikan penjagaan kesihatan yang ditawarkan menyumbang secara positif kepada negara. Kemampanan kewangan adalah penting, namun tumpuan kekal kepada penyampaian hasil berkualiti kepada pesakit serta menyokong agenda penjagaan kesihatan secara lebih meluas,” katanya kepada Bernama.
Chin berkata Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025 yang berlangsung baru-baru ini dan menghimpunkan pakar penjagaan kesihatan serta pemain industri telah membantu memupuk pemahaman serta kerjasama lebih baik merentas sektor industri, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), penyedia perkhidmatan swasta dan pihak berkepentingan lain.
Beliau berkata penglibatan sedemikian diperlukan bagi membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh dan bersepadu, yang mencerminkan realiti serta cabaran landskap perkhidmatan perubatan kesihatan di Malaysia.
Selaku seorang daripada penceramah di MIH 2025, Naib Canselor KPJ Healthcare University (KPJU) Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin menyampaikan dua sesi bertajuk “How the KPJ Health System is Building the Future of Care” dan “Disruptive Technologies: A Challenge to Academics in Healthcare”.
Beliau berkata platform itu memberikan gambaran lebih jelas tentang kaedah sektor berbeza boleh bekerjasama untuk mencapai objektif bersama.
“Ia membolehkan kami saling berkomunikasi, memahami matlamat masing-masing dan berusaha ke arah penyelesaian yang memanfaatkan organisasi dan juga negara,” katanya sambil menambah MIH berpotensi menjadi pencetus trend bagi standard penjagaan kesihatan masa hadapan di Malaysia.
Dr Tunku Kamarul Zaman berkata KPJU berhasrat memperkukuh kedudukannya sebagai institusi yang berwawasan dengan mengintegrasikan pendedahan industri sebenar serta teknologi kesihatan terkini ke dalam ekosistem akademiknya.
Beliau berkata universiti itu perlu beralih daripada kaedah pengajaran tradisional dan lapuk, memandangkan pendidikan penjagaan kesihatan masa kini memerlukan pendekatan yang mencerminkan realiti klinikal semasa dan kemajuan teknologi.
“Pendekatan sedia ada kami masih cenderung kepada amalan tradisional. Penyampaian pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan ilmu pengetahuan telah berubah mengikut zaman, namun kaedah kami tidak berkembang seiring dengan kepantasan perubahan,” katanya.
Dr Tunku Kamarul Zaman berkata KPJU sedang berusaha memastikan programnya kekal relevan dan selaras dengan standard moden supaya mahasiswa dilengkapi keupayaan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan landskap penjagaan kesihatan masa kini.
Mengenai K.R.A.F.T. (KPJ Redefining Aspirations for Tomorrow) Challenge 2025, beliau berkata ia platform inovasi KPJ Healthcare yang direka bagi menemukan idea bernas, penyelesaian berimpak serta penambahbaikan proses yang bersifat transformatif untuk memperkukuh masa depan penjagaan kesihatan.
Beliau berkata inisiatif di bawah Sistem Kesihatan KPJ itu bertujuan menggalakkan kerjasama, memupuk budaya inovasi serta mempercepat penyelesaian untuk pasaran selaras dengan nilai C.A.R.E. KPJ, iaitu Committed, Accountable, Respectful dan Excellent.
“Orang boleh berangan-angan, namun hakikatnya setiap impian itu memerlukan sokongan, seseorang untuk membantu merealisasikannya. Maka, mereka akan mencari jalan dan ini satu daripada platform untuk menterjemahkan impian itu menjadi realiti. Itulah peranan K.R.A.F.T, yakni memberikan dorongan dan harapan bahawa mereka mampu melakukan lebih daripada sekadar bermimpi,” katanya.
Pentas final K.R.A.F.T. yang diadakan bersempena dengan MIH Megatrends 2025 pada minggu lepas menyaksikan KPJ Pahang Specialist Hospital menjuarai kategori terbuka menerusi projek “Mini ViGo: Enhancing Surgical Count Efficiency to Ensure Safe Surgery, Safe Life”, membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000, piala serta insentif yang menyokong pengkomersialan daripada KPJ Research and Innovation Centre (KPJRIC).
Untuk kategori universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam meraih tempat pertama menerusi projek “Homehaven RX: End-to-End Medication Management System” sekali gus memenangi RM10,000, piala dan insentif pengkomersialan.
Pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menerima Anugerah Penyelidikan Terbaik menerusi projek “Cell Machine Automation, Characterisation and Monitoring of Cell Culture Growth for Bio-Manufacturing Using AIoT Towards IR 4.0”, yang memenangi hadiah wang tunia RM5,000.
Sementara itu, projek “Thermaline Wall Panel Installation: Mitigating Condensation and Fungal Growth in Hospital Stairwells” oleh KPJ Kajang Specialist Hospital, serta projek “Homehaven RX: End-to-End Medication Management System” turut menerima Anugerah Khas Hakim,masing-masing membawa pulang RM3,000.
Wakil KPJ Pahang Specialist Hospital berkata platform itu menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan petugas, khususnya ketika mereka berhadapan cabaran sebenar di hospital.
“Kami merancang untuk mempatenkan ‘Mini ViGo’ seperti yang kami lakukan terhadap projek ViGo asal pada 2010. Kali ini kami berhasrat untuk memperjuangkan penggunaannya di semua 30 hospital KPJ di seluruh negara. Kami berharap manfaatnya dapat diperluas kepada semua pihak, termasuk hospital lain,” menurut wakil itu.
Wakil UiTM Syarmilla Ezza Ismail berkata K.R.A.F.T. Challenge memberikan peluang untuk mengkomersialkan inovasi mereka kerana ia memudahkan jaringan dengan pemain industri, pelabur berpotensi serta pakar.
Cabaran K.R.A.F.T menerima sejumlah 208 penyertaan, dengan 126 bagi kategori terbuka dan 82 untuk kategori universiti.
Acara tiga hari MIH Megatrends 2025 yang bermula pada 25 Nov itu anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama strategik KPJ Healthcare, menarik lebih 1,500 peserta termasuk profesional penjagaan kesihatan, pembuat dasar dan peneraju industri dari seluruh dunia.
-- BERNAMA