BATU PAHAT, 3 Dis (Bernama) -- Penduduk di sekitar Taman Nira dan Kampung Muhibbah bersyukur kerana air pasang yang berlaku hari ini tidak tinggi serta tidak melepasi tebing sungai atau parit berhampiran.
Mereka bagaimanapun tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sepertimana yang berlaku bulan lepas.
Mahmood Ibrahim, 78, yang tinggal di kawasan itu sejak 1985 berkata fenomena air pasang sejak 10 tahun kebelakangan ini sememangnya luar biasa dan sering memasuki rumah penduduk.
Beliau berkata sehingga 10 pagi ini air pasang masih berlaku tetapi tidak melepasi tebing dan tidak naik ke jalan, namun persediaan awal tetap dilakukan.
“Dijangkakan air pasang yang bermula hari ini akan berlaku sehingga Ahad atau Isnin, dan kami bersyukur parasnya tidak tinggi… air pasang ini selain boleh menganggu urusan harian turut menimbulkan kebimbangan penduduk mengenai kehadiran haiwan berbisa seperti ular yang boleh memasuki rumah,” katanya.
Mahmood berkata air pasang yang dahulunya berlaku setahun sekali sekitar Disember, kini berlaku hampir setiap bulan.
Beliau berkata penduduk termasuk dirinya membuat semakan paras air pasang setiap bulan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengetahui tarikh fenomena air pasang besar.
“Selain melakukan semakan tarikh berlakunya air pasang, difahamkan JPS juga membuat hebahan di media sosial mereka agar orang ramai boleh membuat rujukan,” katanya.
Seorang penduduk Nurul Syuhadah Ab Razak, 24, berkata mereka membuat persiapan menghadapi kemungkinan air pasang besar dengan meletakkan barangan penting di tempat yang lebih tinggi dan selamat.
“Melalui hebahan di media sosial JPS, dijangkakan air pasang akan lebih tinggi pada hari Sabtu (6 Dis) berbanding hari ini yang hanya memenuhi sungai dan parit tetapi tidak melimpah ke jalan,” katanya.
Tinjauan Bernama dari 8.30 hingga 10 pagi di beberapa kawasan panas fenomena air pasang iaitu Taman Nira, Kampung Muhibbah dan Kampung Dalam Peserai mendapati air pasang hari ini tidak menganggu urusan harian penduduk selepas parasnya tidak melepasi tebing sungai dan parit.
Menurut data Ramalan dan Amaran Banjir Negeri Johor bagi fenomena air pasang tinggi yang dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional semalam, lima lokaliti iaitu Batu Pahat, Johor Bahru, Muar, Kukup dan Mersing dijangka mengalami fenomena itu dengan paras air antara 2.4 hingga 3.6 meter bagi tempoh 3 hingga 10 Dis ini.
-- BERNAMA