MOSCOW, 4 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) Meta telah mula memadam akaun remaja Australia berusia bawah 16 tahun di platform media sosialnya pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik media Australia.
Kerajaan Australia merancang untuk melarang penggunaan platform media sosial popular, termasuk Snapchat, TikTok, YouTube, Reddit, Twitch dan X, bagi kanak-kanak bawah 16 tahun mulai 10 Dis.
Syarikat media sosial yang gagal memadam akaun milik pengguna bawah 16 tahun berdepan denda sehingga AU$49.5 juta (US$32 juta).
Walaupun undang-undang itu hanya berkuat kuasa secara rasmi pada 10 Dis, Meta telah mula memadam akaun Instagram, Facebook dan Threads pada 4 Dis, lapor penyiar ABC.
Semakin banyak negara mengambil langkah untuk mengehadkan pengaruh media sosial terhadap generasi muda.
Denmark, Perancis, Sepanyol, Greece, Indonesia dan Turkiye dilaporkan sedang menimbangkan sekatan umur mandatori bagi pengguna media sosial.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI