BEIJING, 4 Dis (Bernama-CMG) -- Jumlah kutipan tiket filem animasi 'Zootopia 2' yang ditayangkan di China sejak 26 Nov lalu mencecah dua bilion yuan (RM1.17 bilion), sekali gus membaharui rekod pecah panggung filem animasi import dalam sejarah industri perfileman negara.
Data berkenaan menunjukkan hasil kutipan filem mencapai US$818 juta di pasaran global setakat 5 petang 1 Dis.
China menyumbang sebanyak 33.9 peratus atau US$278 juta kepada keseluruhan kutipan global, menjadikannya mendahului Amerika Utara dari segi kutipan pecah panggung.
Naib Ketua Editor akhbar 'China Film News', Zhang Jinfeng berkata prestasi itu memperlihatkan pasaran serta permintaan dan potensi perbelanjaan yang agak besar dalam industri perfileman China.
Populariti filem berkenaan turut mencerminkan daya tahan kukuh industri perfileman China serta sikap terbuka negara terhadap produk filem yang unggul dari seluruh dunia.
Ia juga menonjolkan peranan pasaran China sebagai pemacu penting kepada pertumbuhan industri perfileman sejagat, kata beliau.
-- BERNAMA-CMG