KUALA NERUS, 4 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali menggesa anak buahnya bangkit mencipta kemenangan pada aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.
Pengendali kelahiran Kemaman itu berkata pemain perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mengutip tiga mata penuh selepas sekadar seri pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) sebelum ini.
Menerusi semangat juang dan disiplin tinggi, beliau yakin skuad Penyu mampu meraih kemenangan meskipun tanpa kehadiran dua tonggak utama yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan dan kad merah.
"Penyerang utama Yan Mabella masih dibelenggu masalah kecederaan lutut dan berkemungkinan besar tidak dapat beraksi hingga habis musim.
"Kyaw Min Oo pula digantung perlawanan pada perlawanan menentang Sabah tempoh hari. Jadi saya mengharapkan pemain yang ada mampu menggalas tanggungjawab dengan baik serta menghadiahkan kemenangan buat penyokong pasukan hitam putih," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain itu, Badrul Afzan berkata TFC juga berdepan kekangan di benteng pertahanan apabila dua penjaga gol Syed Nasrulhaq Syed Bidin dan Muhammad Rahadiazli Rahalim turut mengalami kecederaan.
Susulan itu, beliau berkata sandaran diletakkan di bahu Suhaimi Husin dan penjaga gol muda, Nazul Izamil Zulkifili yang akan dimasukkan sebagai penjaga gol kedua.
"Syed (Syed Nasrulhaq) mengalami kecederaan muka ketika bertembung dengan pemain NSFC Jovan Motika manakala Rahadiazli cedera di siku pada sesi latihan Oktober lepas.
"Setakat ini Nazul (Nazul Izamil) belum pernah membuat penampilan bersama pasukan utama (TFC), tetapi kita yakin dengan kemampuannya yang pernah membantu TFC II muncul juara Piala MFL 2023 ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.
--BERNAMA