DUNIA

Delta Air Lines Rugi US$200 Juta Akibat Penutupan Kerajaan AS

04/12/2025 05:35 PM

NEW YORK, 4 Dis (Bernama-Xinhua) -- Delta Air Lines pada Rabu berkata syarikat itu dijangka menanggung kerugian kira-kira US$200 juta dalam keuntungan suku keempat akibat penutupan kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, lapor Xinhua.

Penutupan selama 43 hari itu, yang menyebabkan pengawal selia mengurangkan trafik udara di lapangan terbang utama bulan lalu, dijangka menjejaskan pendapatan syarikat sebanyak kira-kira US$0.25 sesaham, kata Ketua Pegawai Eksekutif Delta Ed Bastian kepada para pelabur.

Penutupan paling lama dalam sejarah, yang berakhir pada 12 Nov, mengganggu puluhan ribu penerbangan di seluruh negara.

Pada awal November, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan pengurangan jumlah penerbangan di 40 lapangan terbang tersibuk akibat kekurangan pengawal trafik udara.

Sepanjang 10 hari sekatan penerbangan itu, tempahan Delta menurun antara lima hingga 10 peratus, dengan perjalanan perniagaan merosot dan permintaan bayaran balik meningkat, kata Bastian.

Syarikat penerbangan berpangkalan di Atlanta itu pulih dengan cepat dengan pertumbuhan tempahan kembali kepada jangkaan sebelumnya selepas penutupan ditamatkan, katanya sambil berkata permintaan kelihatan kukuh menjelang tahun depan.

Alaska Air Group, yang memiliki Alaska Airlines dan Hawaiian Airlines, melaporkan pada Rabu bahawa kerugian hasil berkaitan penutupan itu dijangka mengurangkan pendapatan terlaras mereka sebanyak US$0.15 sesaham pada suku keempat.

Menurut syarikat itu,  ia terpaksa membatalkan 600 penerbangan akibat pengurangan trafik udara oleh kerajaan, menjejaskan kira-kira 40,000 pelanggan.

Hasil Alaska merosot dengan ketara sepanjang kekacauan penutupan tersebut dan belum kembali ke trend sebelum penutupan, katanya.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498885