AM

YAPEIM Peruntuk RM1.4 Juta Bantu Mangsa Banjir

04/12/2025 06:37 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan kira-kira RM1.4 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Banjir YAPEIM 2025 sebagai usaha membantu mangsa yang terkesan di beberapa negeri.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Abdul Khudus Mohd Naaim berkata bantuan itu dijangka dapat memanfaat kira-kira 1,500 keluarga di Perlis, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Johor, dan akan diagihkan dalam dua fasa.

"Fasa pertama melibatkan bantuan keperluan asas mangsa banjir seperti agihan makanan kering, air mineral, kit kebersihan diri, selimut, tuala, pakaian asas, set keperluan bayi dan wanita serta beberapa keperluan kritikal lain mengikut keadaan semasa.

"Bagi fasa dua pula iaitu pascabanjir akan memberi tumpuan kepada kerja pemulihan termasuk bantuan pembersihan premis dan kediaman, membaik pulih kerosakan rumah dan premis yang terjejas, bantuan peralatan elektrik asas bagi menggantikan yang rosak, pembekalan air bersih dan sokongan logistik serta bantuan keperluan pemulihan lain yang membolehkan keluarga kembali membina kehidupan seperti sedia kala," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Program Bantuan Banjir YAPEIM, di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira 1,400 petugas YAPEIM dan anak syarikatnya akan digerakkan sebagai sukarelawan ke negeri terjejas banjir pada fasa dua.

"Inisiatif pascabanjir ini merupakan usaha penting agar mangsa bukan sahaja selamat ketika bencana tetapi juga mampu bangkit selepas diuji," katanya.

Abdul Khudus berkata Program Bantuan Banjir YAPEIM 2025 yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Permodalan Nasional Bhd, dan Lembaga Tabung Haji (TH) itu, memperlihatkan kesatuan dan komitmen dalam membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Beliau berkata program itu membuktikan gabungan kekuatan institusi ummah mampu memberi  impak yang jauh lebih besar. 

"Kerjasama ini manifestasi konsep infak, ihsan dan solidariti selaras dengan tuntutan agama agar setiap kita memainkan peranan meringankan beban mereka yang ditimpa musibah," katanya.

Secara keseluruhan sejak 1985 hingga Oktober 2025, YAPEIM telah mengagihkan RM723.3 juta kepada 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara meliputi tiga teras iaitu pembangunan ekonomi, pembangunan pendidikan dan pembangunan kemasyarakatan.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498930