KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kolej UNIKOP, institut pengajian tinggi (IPT) milik Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad memainkan peranan signifikan dalam merangka kurikulum yang relevan dan praktikal, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Sebagai institusi yang komited dalam bidang penguatkuasaan, beliau berkata kolej itu berperanan melahirkan insan berintegriti dan berkualiti serta generasi yang diasuh minda, diperkasakan jiwa, dan dipersiap untuk berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Berucap pada pembukaan Istiadat Konvokesyen kelima Kolej UNIKOP di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, di sini hari ini, beliau menyeru graduan untuk menjadikan ilmu serta kemahiran dipelajari sebagai bekalan bagi mengharungi ranjau dan cabaran pada masa mendatang.
“Saya turut menitipkan doa semoga para graduan terus menjunjung integriti, kekal berdaya saing, dan menyumbang bakti kepada keselamatan, kesejahteraan, serta pembangunan negara yang tercinta,” katanya.
Sebanyak 1,005 graduan diraikan pada istiadat konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, dengan sidang kedua esok akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mohd Khalid turut menyatakan hasrat untuk menjadikan Kolej UNIKOP sebagai institusi bertaraf antarabangsa.
“Saya percaya sokongan, bantuan serta asimilasi ini akan menjadikan Kolej UNICOP berada pada tahap dihormati, sekali gus melahirkan insan bermotivasi tinggi yang bakal menyumbang kepada kejayaan negara pada masa akan datang,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ketua Polis Negara kepada graduan Diploma Perkhidmatan Penyiasatan, Julia Qistina Haiqal Mohd Hafiz, yang menerima hadiah wang tunai RM1,000 beserta syiling emas (gold coin).
Selain itu, 10 graduan daripada pelbagai bidang menerima Anugerah Pelajar Terbaik dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM200 dan bar perak.
Sebagai institusi milik Koperasi PDRM, penganjuran konvokesyen edisi kelima ini menyerlahkan perkembangan positif UNIKOP dalam menyediakan pendidikan berkualiti serta melahirkan graduan berdaya saing untuk memenuhi keperluan industri.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam merangkap Pengerusi Koperasi PDRM Datuk Seri Azmi Abu Kassim, Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi UNIKOP Datuk Seri Abdul Aziz Abd Majid dan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur DCP Dr Che Ghazali Che Awang.
-- BERNAMA