KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Skuad futsal negara menamatkan kempen Piala Asia Futsal 2026 dengan kekalahan 1-6 kepada Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan D di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, malam ini.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia tersingkir tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-4 kepada juara bertahan Iran dan dibelasah Afghanistan 0-7 dalam dua perlawanan sebelum ini.
Dalam pertembungan hari ini, Arab Saudi yang turut sudah tersingkir, berjaya mendahului 4-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Fahad Muhalhil Rudayni pada minit kelima, Eihab Mohamed (minit kelapan dan ke-16) dan Fahad Awadh pada minit ke-12.
Eihab melengkapkan hatrik menerusi gol kelima pada minit ke-23 sebelum Abdullah Mohammed Alaqeeli menjaringkan gol keenam Arab Saudi pada minit ke-35.
Pasukan negara bimbingan Addie Azwan Zainal memperoleh gol sagu hati menerusi Awaluddin Mat Nawi pada minit ke-39.
Sebagai rekod, ini merupakan penampilan pertama skuad futsal negara di pentas Piala Asia selepas kali terakhir layak pada edisi 2018 di Taiwan.
Dalam 12 penampilan sejak 1999, Malaysia hanya beraksi di peringkat kumpulan dan masih belum pernah mara ke suku akhir.
-- BERNAMA