AM

Jenazah Mangsa Nahas SUV Jatuh Gaung Selamat Dikebumikan

06/12/2025 11:01 PM

KOTA BHARU, 6 Dis (Bernama) -- Jenazah mangsa kemalangan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas ke dalam gaung di Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Terengganu, selamat dikebumikan malam ini.

Jenazah Hassan Shazali, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh pada 9.10 malam, manakala jenazah Suzaimah Che Azis, 34, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang, pada 9.26 malam tadi.

Suasana pilu menyelubungi suasana di tanah perkuburan apabila ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika urusan pengebumian dijalankan.

Terdahulu, jenazah kedua-dua mangsa dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu setelah proses bedah siasat selesai dijalankan sebelum dibawa pulang ke kediaman masing-masing.

Dalam kejadian pada 5.30 petang semalam, kedua-dua mangsa yang dikatakan bakal mendirikan rumah tangga itu maut selepas SUV yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Terengganu.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang melalui jalan berkenaan yang ditutup akibat tanah runtuh.

Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499662