BUTTERWORTH, 3 Dis (Bernama) -- Seorang pengurus penyelenggaraan meninggal dunia selepas jatuh dari bangunan setinggi 6.37 meter setelah terpijak bumbung lut sinar yang rapuh di premis pembuatan di sini semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata insiden itu berlaku pada 8.30 pagi ketika lelaki berusia 49 tahun itu menjalankan tugasnya di kawasan tersebut.
"Disebabkan bumbung yang telah berusia, bahagian bumbung zink dan bumbung lut sinar telah menjadi sama warna selain bumbung lut sinar juga telah rapuh, menyebabkan mangsa tidak menyedari bahaya struktur tersebut.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian, dan pihak JKKP Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian kemalangan maut tersebut," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Larangan (JKKP2) untuk menghentikan serta-merta semua kerja di tempat tinggi terutama di kawasan bumbung sehingga siasatan lengkap dijalankan.
Hairozie berkata majikan juga telah diarah melaksanakan siasatan dalaman, mengenal pasti punca kejadian dan mengemukakan langkah penambahbaikan kepada JKKP Pulau Pinang.
"Pihak JKKP Pulau Pinang juga akan menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan tindakan perundangan terhadap majikan akan diambil jika gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.
-- BERNAMA