GAYA HIDUP

Bot Tradisional Pantai Timur Diabadikan Dalam Skala Mini

09/12/2025 11:56 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Minat mendalam terhadap bot nelayan tradisional pantai timur sejak muda mendorong seorang tukang rumah dari Kampung Beris Alor Pisang, Besut, Terengganu menghasilkan bot berskala mini yang bukan sahaja menyerupai bot sebenar, malah boleh dikendalikan di atas air menggunakan sistem kawalan jauh (RC).

Engku Abbas Engku Ngah, 59, atau lebih dikenali sebagai Pokku, berkata minat itu bermula ketika dia berusia 20-an selepas sering memerhati bapa sepupunya membina bot jenis C2 di Kampung Air Tawar, sebelum mencuba sendiri dan akhirnya berjaya menghasilkan model yang mengekalkan ciri bot laut dalam pantai timur.

“Waktu muda dulu saya bekerja sebagai nelayan dan akan sentiasa turun ke laut. Setiap kali balik dari laut, saya singgah tengok cara bapa sepupu saya membina bot, dan proses memerhati itu mengambil masa beberapa bulan sebelum saya berani mencuba sendiri.

“Pada mulanya saya guna kayu buangan dan plywood (papan lapis), buat sedikit demi sedikit sampai menjadi sebuah bot. Dari situ semangat saya makin kuat untuk terus menghasilkan bot, sebelum berjaya menyiapkan bot pertama pada 2017,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

pic-2

Pokku, yang meninggalkan pekerjaan sebagai nelayan pada 2002 dan kini bekerja sebagai tukang rumah sepenuh masa, berkata kemahirannya menghasilkan bot mini sudah dikuasai sejak zaman nelayan lagi, manakala pengalaman sebagai tukang rumah hanya membantu dari segi ketelitian.

Bapa kepada tiga anak itu berkata asas kemahiran tersebut membolehkannya meniru pelbagai model bot tradisional pantai timur termasuk reka bentuk bot nelayan Kelantan, Terengganu, bot Siam serta bot kelas C2 yang sering digunakan untuk operasi laut dalam.

pic-3

Pokku berkata setiap replika mengambil masa  dua hingga tiga bulan untuk disiapkan bergantung pada saiz, dengan lima pilihan ditawarkan iaitu dua kaki atau 0.61 meter (m), dua kaki setengah (0.76 m), tiga kaki (0.91 m), tiga kaki setengah (1.07 m) dan lima kaki (1.52 m).

“Bot ini sebenarnya terbahagi kepada dua komponen utama iaitu dek (badan bot) dan tender (kabin serta aksesori). Tender inilah yang paling sukar kerana setiap bahagian kecil seperti joran, kacung (bahagian sisi atas bot/gunwale), tiang api, pagar, spotlight dan kelengkapan pukat perlu dibuat dan dipasang satu per satu. Kerjanya halus dan banyak perincian, sebab itu tender lebih mahal daripada badan bot,” katanya.

Menyentuh bahan utama dalam penghasilan bot mini itu, dia berkata lunas atau rangka utama bot diperbuat daripada kayu tahan air seperti cengal dan meranti merah, manakala badan bot menggunakan papan lapis yang dilapisi gentian, khususnya untuk model RC.

pic-4

“Bagi model bot RC, replika itu dipasang dengan komponen elektronik yang ditempah seperti bateri, Electronic Speed Controller (ESC), motor, kemudi, kipas dan servo yang membolehkan ia bergerak stabil di atas air,” ujarnya yang kini telah menghasilkan hampir 50 unit bot mini dengan harga bermula RM3,000 hingga RM6,000 bergantung pada saiz.

Pokku berkata meskipun prosesnya dibuat sedikit demi sedikit setiap hari, kepuasan melihat sebuah bot kecil lengkap dengan perincian halus terbentuk daripada sekeping kayu kosong menjadi dorongan utama yang membuatkannya terus menghasilkan bot mini baharu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500351