AM

SMC Perkenal Pengimbas CT Pengiraan Foton

12/12/2025 10:48 PM

PETALING JAYA, 12 Dis (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencatat pencapaian penting menerusi pengenalan pengimbas tomografi komputer pengiraan foton (PCCT) pertama di Malaysia, iaitu teknologi pengimejan perubatan generasi baharu yang menjanjikan ketepatan diagnostik lebih tinggi, keselamatan pesakit lebih baik dan hasil klinikal yang dipertingkatkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata teknologi PCCT menawarkan pelbagai manfaat klinikal yang secara langsung meningkatkan penjagaan pesakit, termasuk pengesanan awal lesi dan kelainan yang sukar dikesan, perbezaan lebih jelas antara tisu sihat dan tisu bermasalah serta imejan lebih tajam walaupun dalam kalangan pesakit dengan implan logam.

Beliau berkata manfaat lain termasuk pengurangan pendedahan sinaran hingga 50 peratus yang menyediakan imbasan lebih selamat untuk kanak-kanak, pesakit kronik dan individu memerlukan pengimejan berulang serta mengurangkan keperluan untuk agen kontras, yang lebih selamat bagi mereka mempunyai sensitiviti atau masalah buah pinggang. 

“Diagnostik canggih kini bukan lagi satu pilihan, ia adalah asas membolehkan intervensi awal dan pengukuhan keputusan klinikal. Teknologi pengimejan yang mengurangkan pendedahan sinaran, meningkatkan kejelasan dan memperbaiki perbezaan tisu adalah penting untuk mencapai hasil yang lebih baik bagi pesakit.

“Kelebihan ini memberi kesan kepada kepastian diagnostik lebih jelas dan rawatan lebih terperinci. Saya yakin manfaatnya akan meluas kepada klinik, pesakit dan sistem penjagaan kesihatan Malaysia yang sedang berkembang,” katanya berucap pada majlis perasmian PCCT di SMC di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway Datuk Lau Beng Long dan Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken.

Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengalu-alukan sumbangan sektor swasta yang mampu meningkatkan piawaian, memperluas kapasiti dan memperkenalkan keupayaan yang memanfaatkan seluruh negara, di samping menyatakan ekosistem penjagaan kesihatan berada pada tahap terbaik apabila sektor awam dan swasta bekerjasama secara sinergi.

PCCT berkenaan menyediakan pengimejan resolusi ultra tinggi merangkumi pelbagai bidang klinikal seperti kardiologi, neurologi, onkologi, muskuloskeletal, pediatrik dan pulmonologi, di samping membolehkan imbasan yang lebih selamat, pantas dan selesa yang memberi manfaat khususnya kepada kanak-kanak, warga emas serta pesakit yang memerlukan pengimejan berulang.

Sementara itu, Lau berkata pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan Sunway untuk meningkatkan piawaian penjagaan kesihatan dan menyediakan penjagaan bertaraf dunia kepada setiap pesakit.

“Di Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, kami berpegang pada satu matlamat iaitu untuk menyediakan penjagaan terbaik melalui inovasi dan kecemerlangan. Dengan memperkenalkan PCCT pertama di Malaysia, kami memperkasakan pengamal perubatan kami dengan alat diagnostik canggih yang meningkatkan ketepatan, menyokong pengambilan keputusan klinikal dengan yakin dan meningkatkan keselesaan pesakit,” katanya.

Sementara itu, Perunding Kanan Radiologi Intervensi SMC Dr Adam Pany Abdullah berkata resolusi ultra tinggi PCCT membolehkan pakar penjagaan kesihatan mengesan lesi kecil dan perubahan halus dengan jelas, disokong oleh pengimejan spektrum canggih dan alat yang menggunakan kecerdasan buatan seperti myExam Companion dan GO Technologies.

“PCCT secara asasnya mengubah apa yang kita dapat lihat dan cara kita merawat pesakit. Imbasan yang lebih cepat dengan dos yang lebih rendah bermakna pemeriksaan yang lebih selamat dan selesa walaupun untuk kanak-kanak dan warga emas. Bagi pengamal perubatan, ia meningkatkan aliran kerja dan keyakinan diagnostik," katanya.

Dibangunkan oleh Siemens Healthineers, sistem berkenaan adalah hasil daripada beberapa dekad penyelidikan dalam teknologi pengesan pengiraan foton dan satu penemuan penting yang sedang mengubah landskap pengimejan diagnostik di seluruh dunia.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan SMC untuk memperkenalkan teknologi ini di Malaysia. Bersama-sama, kami meneroka dimensi baharu dalam diagnostik ketepatan yang akan membantu pengamal perubatan membuat keputusan rawatan lebih pantas dan lebih yakin,” kata Pengarah Urusan Siemens Healthineers Malaysia Siow Ai Li.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502213