GAYA HIDUP

Entourage Papar Dunia Kreatif Selepas Kematian Seniman Menerusi Komedi Gelap

10/12/2025 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- ENTOURAGE, diarahkan oleh Zahim Albakri, mengimbas kembali dunia sosial penulis, penggiat seni dan pembikin filem era 1990-an melalui sebuah drama pentas berbentuk whodunit yang berkisar pada kematian seorang seniman ketika satu keraian di sebuah rumah.

Ditulis oleh Allahyarham Jit Murad, pementasan ini mengisahkan sekumpulan rakan yang berdepan semula ketegangan lama mereka selepas Ghani, hos majlis yang dihadiri mereka, ditemukan mati di dapur. Produksi ini menggabungkan misteri dan pemerhatian tentang persahabatan, cita-cita dan jurang emosi dalam komuniti kreatif.

Ghani, lakonan Ghafir Akhbar, digambarkan sebagai pelukis berjaya yang baru pulang dari luar negara dan menarik semula kelompok peminat lama dengan karismanya. Hubungan tegangnya dengan Lala, pasangan hidupnya sejak dulu dan sedang hamil hasil hubungan dengan lelaki lain, turut membentuk latar emosi cerita.

Plot berubah apabila Ghani dibunuh menggunakan batu penggiling, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan tetamunya. Separuh kedua pementasan menjadi lebih tegang apabila persaingan, sungutan dan motif tersembunyi mula timbul dalam kumpulan itu.

pic-2

Sonia, lakonan Mae Elliessa, digambarkan sebagai pembantu yang menguruskan dokumen dan aset Ghani, termasuk pemindahan harta Ghani secara sulit ke atas namanya. Sam, rakan ekspatriat Ghani, pula terheret dalam kekecohan tersebut apabila pakatan berubah dan syak wasangka memuncak.

Wan yang dimainkan oleh Nabil Zakaria, menyuntik elemen ringan melalui ekspresinya yang bertenaga, sementara pengarah filem Mafuz, dibawa oleh Engku Armand, hadir dengan gaya yang lebih tenang namun berwibawa. Pertelingkahan mereka yang belum selesai mengenai koleksi keris berharga menambah satu lagi lapisan kepada konflik yang kian tegang.

pic-3

Ade, watak yang dilakonkan oleh Mia Sara, muncul sebagai pendatang baharu yang memerhati kumpulan itu dari pinggiran dan sekali-sekala menokok penceritaan kepada penonton tanpa terlibat secara langsung dalam pertembungan tersebut.

Produksi ini mengekalkan humor dan struktur jelas yang sinonim dengan penulisan Jit, khususnya di bahagian akhir apabila interaksi watak menjadi lebih tersusun. Arahan oleh Zahim mengekalkan nada yang dibayangkan penulis naskhah tersebut yang merupakan rakan kolaborasinya selama lebih tiga dekad.

Artikel ini diadaptasi daripada ulasan oleh Cyril Pereira.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500796