KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM438.07 juta untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Oktober 2025 berbanding RM303.54 juta yang disaksikan dalam tahun sebelumnya.
Pendapatan meningkat kepada RM2.93 bilion daripada RM2.26 bilion disebabkan oleh kenaikan jualan dan penyatuan penuh keputusan kewangan Paragon Pinnacle pada suku keempat, kata syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Ini juga disebabkan oleh penjualan 49.8 hektar tanah perindustrian di Taman Perniagaan Quantum Edge pada suku 2025, katanya.
Projek-projek lain yang menyumbang kepada pendapatan adalah Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I, Eco Business Park II dan Eco Business Park III di Iskandar Malaysia termasuk Eco Majestic, Eco Forest, Eco Sanctuary dan Se.Duduk D’ Kajang di Lembah Klang, " katanya.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM126.73 juta daripada RM83.42 juta, manakala pendapatan naik kepada RM750.78 juta berbanding RM638.45 juta sebelum ini.
EcoWorld berkata projek-projeknya di Iskandar Malaysia telah menyumbang sebanyak RM2.27 bilion atau 50 peratus kepada jumlah jualan kumpulan, diikuti oleh Lembah Klang dengan sumbangan 39 peratus dan Pulau Pinang dengan 11 peratus
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah melalui satu kenyataan berasingan berkata tahun kewangan 2025 adalah tahun yang menyaksikan pencapaian terbaik bagi syarikat itu, dengan jualan mencecah RM4.55 bilion, keuntungan selepas cukai sebanyak RM445 juta selain jumlah dividen sebanyak 7.0 sen sesaham yang diisytiharkan, paling tinggi yang pernah dicapai dalam satu tahun kewangan.
Beliau berkata kunci kira-kira kumpulan terus mengukuh dengan metrik kewangan utama merekodkan pertumbuhan dua angka sejak tahun kewangan 2024, sementara pendapatan masa depan kekal tinggi pada RM4.89 bilion, memberikan pendapatan dan keterlihatan aliran tunai.
"Untuk mengekalkan momentum jualan kami, kami telah meningkatkan sasaran jualan tahunan kami bagi tahun kewangan 2026 kepada RM4.0 bilion.
"Ianya akan dipacu oleh projek-projek baru yang besar seperti Eco Business Park VII, projek pertama EcoWorld di Negeri Sembilan; Eco Business Park 8 di Kulai, Johor dan Eco Radiance, bandar baharu Lembah Klang kami di Semenyih, Selangor," katanya
Chang ketika mengulas mengenai pendapatan berulang kumpulan itu menjelaskan pembinaan kerangka dan teras yang berterusan untuk pusat data di Eco Business Park V, yang akan dipajak kepada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd, berada di landasan yang baik
Setelah selesai menjelang separuh kedua tahun kewangan 2027, pendapatan sewa tetap yang lumayan daripada aset ini akan menaungi matlamat kumpulan untuk mengembangkan pangkalan pendapatan berulangnya kepada kira-kira 20 hingga 30 peratus keuntungan bersih dari masa ke masa, katanya.
-- BERNAMA