KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Langkah kerajaan untuk mengukuhkan pelaporan kekosongan di bawah Seksyen 45F Akta Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) adalah sejajar dengan amalan antarabangsa, tetapi ia memerlukan pelaksanaan yang praktikal, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Menurut MEF, bagi menyokong pembangunan pasaran buruh jangka panjang Malaysia, data kekosongan yang lebih baik memberi manfaat secara sosial dan memenuhi kepentingan perniagaan majikan bagi tempoh jangka panjang.
“Apabila kerajaan mempunyai maklumat yang jelas mengenai aliran pengambilan pekerja, kekurangan kemahiran dan permintaan mengikut sektor, pendidikan serta latihan teknik dan vokasional, jadi program peningkatan kemahiran boleh disasarkan dengan lebih berkesan.
“Dari semasa ke semasa, ia membawa kepada penyaluran bakat yang lebih baik, mengurangkan ketidakpadanan dan meningkatkan produktiviti, yang secara langsung meningkatkan daya saing negara dan pekerjaan,” kata MEF dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, MEF menekankan bahawa pelaksanaannya mesti seimbang dan praktikal, kerana syarikat yang lebih kecil, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang tidak mempunyai kakitangan sumber manusia yang khusus, tidak seharusnya berdepan beban pentadbiran yang tidak wajar.
“Akta EIS memberi kuasa kepada menteri untuk merangka peraturan yang bersesuaian dan memberi pengecualian untuk majikan bagi kategori tertentu.
“Oleh itu, MEF menggesa agar fleksibiliti ini dilaksanakan bagi memastikan keperluannya dipatuhi, sekali gus mencerminkan saiz dan kapasiti operasi syarikat dan bukannya menerima pakai model yang seragam, iaitu sesuai untuk semua,” katanya.
Selain itu, Presiden MEF Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata pelaksanaan penalti secara menyeluruh sebanyak RM10,000 bagi ketidakpatuhan pentadbiran adalah tidak wajar.
“Majikan selalunya menguruskan keperluan tenaga kerja yang berubah-ubah, melaksanakan penstrukturan semula dan permintaan operasi yang mendesak.
“Keperluan pelaporan yang ketat selama tujuh hari, ditambah pula dengan jumlah denda yang besar, tidak mencerminkan keadaan realiti yang dihadapi oleh perniagaan,” katanya.
Syed Hussain menambah bahawa jumlah penalti terkumpul, terutamanya apabila pelbagai kekosongan jawatan berlaku dalam tempoh beberapa minggu atau bulan, akan menimbulkan risiko pematuhan yang ketara dan mengakibatkan tekanan kewangan terhadap syarikat yang telah berdepan kenaikan kos serta ketidaktentuan ekonomi.
-- BERNAMA