EKONOMI

Peluncuran Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB Lakar Sejarah Pembangunan Sistem Pengangkutan Negara

11/12/2025 02:26 PM

JOHOR BAHRU, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah baharu dalam pembangunan sistem pengangkutan negara dengan peluncuran penyempurnaan dan pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru hari ini.

Projek itu melengkapkan penghubung terakhir rangkaian tren elektrik dari Padang Besar sehingga Johor Bahru, sekali gus menandakan satu lonjakan besar dalam transformasi mobiliti negara.

Menurut kenyataan SIPP Rail Sdn Bhd dan YTL Construction Sdn Bhd (SIPP-YTL) hari ini, projek yang dimiliki Kementerian Pengangkutan (MOT) itu melibatkan 11 stesen termasuk Segamat, Genuang, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Renggam, Layang-Layang, Kulai dan JB Sentral. 

Ia sekali gus melengkapkan rangkaian perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari utara ke selatan Semenanjung dan mempercepat perjalanan serta menyokong pembangunan mampan di wilayah selatan.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan menyempurnakan pengoperasiannya di Stesen Kempas Baru di sini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pengarah Urusan SIPP-YTL JV Datuk Seri Yeoh Seok Hong secara rasmi menyerahkan penyempurnaan projek kepada MOT yang diwakili Loke.

Anwar dalam kenyataan yang sama mengucapkan tahniah kepada SIPP-YTL atas kejayaan menyiapkan projek infrastruktur bertaraf dunia itu yang mencerminkan komitmen teguh Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri berkata projek itu memperkukuh sistem pengangkutan awam yang moden, maju dan  berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Loke pula turut mengucapkan tahniah kepada kementeriannya dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan SIPP-YTL atas kerjasama strategik dalam merealisasikan projek yang memberi manfaat kepada Johor sekali gus menyokong pembangunan negara.

Dalam pada itu, Yeoh berkata SIPP-YTL JV bertindak sebagai sub-kontraktor utama tempatan bagi pembangunan landasan itu.

Konsortium ini menyokong pelaksanaan projek rel strategik negara yang menghubungkan utara dan selatan serta memperkukuh pembangunan ekonomi, sosial dan mobiliti rakyat.

Yeoh berkata projek berkenaan memodenkan sepenuhnya koridor rel di Johor, menerusi pembinaan 11 stesen baharu yang direka berteraskan identiti dan warisan negeri.

Menurutnya penumpang kini menikmati perjalanan lebih pantas dan efisien apabila tempoh masa antara KL Sentral dan JB Sentral, dipendekkan kepada empat jam 20 minit berbanding tujuh jam sebelum ini dengan kelajuan sehingga 140 kilometer per jam.

"Pembinaan landasan ini menuntut ketepatan kejuruteraan yang tinggi termasuk  jambatan, stesen, depot sehingga sistem sokongan.

"Setiap komponen dibina mengikut piawaian bertaraf dunia bagi mencapai prestasi dan kecekapan terbaik," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501293