IPOH, 12 Dis (Bernama) -- Proses pembelajaran pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi tidak akan terjejas apabila peralihan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaksanakan sepenuhnya kelak.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pelaksanaan itu tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia memerlukan pelbagai perbincangan antara kedua-dua kementerian.
"Pada minggu hadapan, pihak pengurusan KPT dan KPM akan mengadakan perbincangan menyusun garis masa pelaksanaan ini.
"Memang kita tidak boleh melaksanakan dengan segera ataupun secara tiba-tiba, hari ini di KPM esok di KPT, tidak. Hal ini kerana ia melibatkan isu dari segi penyelenggaraan aset, tenaga pengajar dan sebagainya," katanya.
Wong berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran penyerahan papan pintar interaktif (smartboard) kepada 83 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Perak membabitkan peruntukan berjumlah RM984,000 di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti cadangan pemindahan STPM dan program Matrikulasi ke KPT, langkah yang merupakan sebahagian perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijadual bermula pada 2026.
Pada 7 Dis, media melaporkan Zambry memaklumkan kerajaan akan memindahkan program STPM serta Matrikulasi daripada KPM kepada KPT, bagi menyelaraskan proses penilaian dan laluan kemasukan pelajar ke peringkat universiti, antara perubahan besar yang akan dilakukan kerajaan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035.
-- BERNAMA