EKONOMI

Ambest Group Sasar Penyenaraian Di Bursa Malaysia Pada Suku Pertama 2026

11/12/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Ambest Group Bhd yang beribu pejabat di Pulau Pinang menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada suku pertama tahun depan.

Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang mengkhusus dalam pemesinan ketepatan untuk bahagian dan komponen yang disesuaikan itu hari ini memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut.

IPO berkenaan merangkumi terbitan awam sebanyak 110 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 40.95 juta saham sedia ada, kata Ambest Group dalam satu kenyataan.

"Daripada 110 juta saham terbitan, sebanyak 25.5 juta saham akan diperuntukkan kepada orang ramai di Malaysia melalui undian manakala 12.75 juta saham terbitan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan rakan perniagaan yang layak di bawah kumpulan ini yang memberikan sumbangan kepada kejayaan Ambest Group melalui peruntukan borang merah jambu.

"Sebanyak 63.75 juta saham terbitan akan diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri manakala baki lapan juta saham terbitan akan diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih," kata syarikat itu.

Malacca Securities akan menaja jamin sejumlah 38.25 juta saham terbitan yang merangkumi 25.5 juta saham terbitan yang diperuntukkan untuk permohonan oleh orang ramai di Malaysia dan 12.75 juta saham yang diperuntukkan kepada individu yang layak.

Kumpulan tersebut merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil IPO bagi pembayaran balik pinjaman, kata Ambest Group.

"Sebahagian lagi akan diperuntukkan untuk pembelian mesin-mesin baharu termasuk mesin CNC lima paksi (kawalan berangka komputer) untuk pemotongan pelbagai arah secara serentak dan mesin CNC mendatar yang direka untuk pemesinan ketepatan tinggi bagi komponen yang lebih besar atau lebih kompleks.

"Pelaburan-pelaburan ini penting untuk Ambest Group kekal kompetitif selain meningkatkan kecekapan pembuatan dan menunjukkan keupayaan teknikal yang kukuh bagi mendapatkan pesanan dengan jumlah yang lebih tinggi serta lebih maju daripada pelanggan," katanya.

Selain itu, sebahagian daripada hasil IPO akan disalurkan ke arah modal kerja am untuk menyokong perolehan bahan mentah, perbelanjaan operasi dan aktiviti harian, katanya.

Baki hasil IPO akan digunakan untuk menampung perbelanjaan yang berkaitan dengan proses penyenaraian.

Malacca Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi urusan berkenaan manakala Wyncorp Advisory Sdn Bhd pula merupakan penasihat kewangan korporat.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501350