KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM165.0 bilion atau 12.5 peratus kepada jumlah eksport negara dari Januari hingga Oktober 2025.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata sektor itu juga menyumbang sebanyak RM66.1 bilion atau 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga September 2025.
Katanya fokus utama kementerian pada masa ini adalah membantu pekebun kecil dalam program penanaman semula pokok sawit yang tua atau tidak produktif.
“Berdasarkan Belanjawan 2026, kementerian diperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi pelaksanaan Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang disediakan khusus untuk kumpulan sasaran, iaitu pekebun kecil persendirian sawit di seluruh Malaysia.
“Skop TSPKS 2.0 meliputi penyediaan kawasan tanaman, pembekalan anak benih sawit berkualiti dan penyelenggaraan kebun yang akan diberikan kepada pekebun kecil yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
-- BERNAMA