JENAYAH & MAHKAMAH

Bomba Lengkapkan Siasatan Kebakaran Korbankan Dua Beranak Di Butterworth

11/12/2025 07:46 PM

BUTTERWORTH, 11 Dis (Bernama) --  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sedang melengkapkan siasatan bagi mengetahui punca sebenar insiden kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Telok Air Tawar, di sini semalam.

Pengarah JBPM negeri Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya belum dapat mengesahkan punca kebakaran ketika ini kerana perlu menunggu laporan lengkap siasatan kejadian tersebut yang akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Pihak bomba menerusi pasukan forensik kebakaran meneruskan siasatan di lokasi kebakaran hari ini dengan menggunakan dua anjing pengesan Unit K9 untuk membantu mengenal pasti punca kejadian dan pemeriksaan terperinci.

"Kami menggunakan dua ekor anjing pengesan daripada baka English Springer Spaniel, Woddy dan Sam, untuk menjalankan pemeriksaan bermula 10 pagi tadi sehingga 12.30 tengah hari sebagai sebahagian daripada prosedur siasatan forensik kebakaran," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Shoki berkata pemeriksaan oleh dua ekor anjing itu menemui cebisan anggota badan kanak-kanak perempuan tersebut dan ia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian semalam, Hayani Yaakob, 50-an, dan anak angkat perempuan dikenali sebagai Andra berusia lima tahun rentung akibat terperangkap di dalam rumah berkenaan, manakala anak lelakinya Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an, cedera dihempap struktur bumbung yang runtuh

Bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.41 pagi dan mayat kedua-dua mangsa dijumpai di ruang tamu berhampiran pintu utama, manakala Daniel Quyum ditemukan di kawasan pintu dapur dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut..

Sementara itu, bapa Daniel Quyum,  Kamarozlan Muhammad, 57, berkata anaknya itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ selepas menjalani pembedahan di kepala dan keadaannya stabil namun perlu pemantauan rapi kerana kecederaan parah yang dialami. 

Beliau berkata jenazah bekas isterinya, Hayani dan anak angkatnya pula masih berada di unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) dan difahamkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dibuat bagi menentukan identiti mereka.

"Semalam kami dimaklumkan yang kemungkinan bedah siasat dijalankan pagi ini sebelum jenazah boleh dituntut tapi tadi saya diberitahu ujian DNA perlu dibuat terlebih dahulu, keputusannya (DNA) akan diketahui dalam tempoh seminggu," katanya.

Kamarozlan berkata keluarga bekas isterinya telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan ahli keluarga arwah akan menguruskan pengebumian kedua-dua jenazah di Perlis kerana arwah berasal dari sana.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata polis mengkasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut (SDR) hingga laporan bedah siasat dan laporan forensik bomba diperoleh.

Beliau berkata pasukan forensik bomba telah mengambil beberapa sampel di tempat kejadian untuk tujuan analisis dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak bomba.

"Selain itu, pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang juga telah hadir menjalankan siasatan di tempat kejadian.

"Hasil maklumat orang awam serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran menunjukkan terdapat kepulan asap dan api merebak dengan cepat membakar sebahagian sktruktur rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ketua Polis Balai Telok Ayer Tawar SM Mohamad Zain Hasim di talian 04-576 2222 (samb 2275) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501507