IPOH, 11 Dis (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan seekor gajah di Kilometer (KM) 31 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di Gerik, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, lelaki berusia 36 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Honda RS 150R dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum bertembung dengan seekor gajah yang berada di atas jalan laluannya.
"Penunggang motosikal tersebut cuba mengelak namun tetap berlaku perlanggaran dengan haiwan tersebut hingga menyebabkan dia terjatuh sebelum bangun melarikan diri.
"Gajah tersebut kemudian bertindak merosakkan motosikal berkenaan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Abdul Samad berkata penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Gerik, manakala motosikalnya mengalami beberapa kerosakan.
"Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa memandu melalui Jalan Raya Timur-Barat kerana dikuatiri terdapat hidupan liar yang melintas dan berada di atas jalan raya," katanya.
--BERNAMA